Miami: Seorang lelaki menyaman sebuah hospital di sini selepas kakinya yang dipotong dalam satu pembedahan dibuang ke dalam tong sampah.

Timiriasieff hanya menyedari tindakan hospital itu selepas anggota badan berkenaan yang sudah reput ditemui polis di dalam tong sampah.

Kaki kanan Timiriasieff yang masih mempunyai tanda namanya ditemui oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada polis.

Polis yang mengesyaki Timiriasieff menjadi mangsa bunuh kemudiannya pergi ke rumah lelaki itu dan terkejut selepas mendapati dia masih hidup.

Timiriasieff memberitahu polis, kaki kanannya dari aras lutut ke bawah dipotong dalam satu pembedahan di Hospital Doctors sebulan yang lalu.

Lelaki itu yang terkejut dengan perkara berkenaan mengambil keputusan untuk menyaman pihak pengurusan hospital itu.

Dalam saman berkenaan, Timiriasieff mendakwa dia mengalami tekanan emosi selepas mengetahui anggota badannya dibuang ke dalam tong sampah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:15 AM