Baharom Bakar


KETERUJAAN orang ramai memenuhi padang di Dataran Shahbandardan Pesisir Payang di Kuala Terengganu, untuk berbuka puasa berlatar belakangkan pemandangan indah jambatan angkat atau ‘draw-bridge’, mencemarkan keindahan kawasan itu apabila segelintir daripada mereka membiarkan sampah berlonggokan.

Malah, tong sampah bersaiz kecil disediakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak mencukupi menyebabkan masalah itu berlaku.

Tinjauan di lokasi itu mendapati longgokan sampah mengandungi bekas dan sisa makanan serta botol air minuman tidak dibuang di tempat sepatutnya dan ditinggalkan bersepah di tepi padang, di laluan pejalan kaki, di atas benteng sungai mahupun di atas kerusi batu di situ.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Loh berkata, dia sering membantu mengutip longgokan sampah secara sukarela.

“MBKT sepatutnya meletakkan tong sampah lebih besar bagi memudahkan pengunjung yang menjadikan lokasi itu sebagai tempat berbuka puasa.

“Walaupun ada segelintir yang tanpa rasa bersalah membiarkan sampah bertaburan tanpa dibuang dalam tong sampah, ramai juga pengunjung yang berdisiplin dan membuang sampah ke dalam tong sampah.

“Namun, bilangan tong sampah yang tidak mencukupi menyebabkan sampah hanya dilonggokkan di sudut tertentu, sekali gus mencemar pemandangan.

“Sudah menjadi tanggungjawab dan rutin harian kami untuk turun membantu pekerja syarikat pembersihan memungut longgokan plastik sampah yang dikumpulkan orang ramai ke kawasan tong sampah.

“Syarikat pembersihan yang diberi tanggungjawab oleh MBKT hanya menghantar seorang pekerja untuk melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, timbunan sampah dijangka meningkat minggu depan apabila semakin ramai warga negeri ini yang bekerja di luar negeri pulang ke kampung dan mengambil kesempatan berbuka di situ, berikutan cuti sekolah sudah bermula.

“Setiap awal pagi selepas Subuh kami akan mulakan kerja sukarela mengutip sampah kerana kawasan ini turut menjadi tumpuan pelancong yang mahu merakamkan gambar jambatan angkat. Justeru, kawasan ini harus segera dibersihkan daripada sampah sarap,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MBKT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya akan menambah jumlah tong sampah daripada 15 biji kepada 20 biji di kawasan itu secepat mungkin.

Katanya, sejak kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa, sebanyak 12 tan metrik sampah dikumpul dan dihantar ke tapak pelupusan sampah setiap hari.

“Kita menjangkakan jumlah sampah meningkat sehingga 24 tan metrik pada minggu terakhir puasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 2:33 PM
TINJAUAN di awal pagi timbunan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung sewaktu berbuka puasa di padang di Dataran Shahbandar yang membelakangkan jambatan angkat (Drawbridge). FOTO Imran Makhzan
TINJAUAN di awal pagi timbunan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung sewaktu berbuka puasa di padang di Dataran Shahbandar yang membelakangkan jambatan angkat (Drawbridge). FOTO Imran Makhzan