KEADAAN Tverdokhleb semakin baik selepas dia memotong kakinya sendiri. FOTO Agensi
KEADAAN Tverdokhleb semakin baik selepas dia memotong kakinya sendiri. FOTO Agensi
Agensi

KIEV: Polis di daerah Okhtyrka melancarkan operasi besar-besaran untuk mencari cebisan mayat dan membuka siasatan kes pembunuhan selepas satu kaki manusia yang reput ditemui di sebuah kampung.

Selepas beberapa hari operasi dijalankan polis menemui jalan buntu apabila tiada cebisan mayat ditemui malah tiada laporan mengenai orang hilang di daerah itu.

Bagaimanapun, misteri pemilik kaki itu akhirnya terbongkar selepas seorang lelaki mengaku dia memotong kakinya sendiri menggunakan pisau dapur sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Vladimir Tverdokhleb, 62, berkata, dia memutuskan untuk memotong kaki kanannya dari paras buku lali selepas dia menghidap gangren dan mula membusuk.

Tverdokhleb yang tiada wang untuk mendapatkan rawatan di hospital memotong kakinya dengan menggunakan pisau dapur sebelum isterinya, Tatiana membuangnya ke dalam tong sampah.

Seorang penduduk kemudiannya membuat laporan polis selepas terkejut melihat kaki itu dimakan anjing menyebabkan pihak berkuasa melancarkan siasatan kerana mengesyaki berlaku pembunuhan.

“Kami mengesyaki adanya mayat di kawasan itu tetapi selepas mencari di sebuah tempat pembuangan sampah dan rumah kosong, tiada apa ditemui,” kata jurucakap polis, Ruslan Kladko.

Selepas beberapa hari memotong kakinya, luka di kaki Tverdokhleb mula mengalami komplikasi menyebabkan lelaki itu terpaksa dibawa ke hospital.

Doktor memberitahu, luka di kaki Tverdokhleb masih perlu dijahit dan dirawat akibat jangkitan kuman. Selepas beritanya tersebar, pihak hospital memutuskan untuk tidak mengenakan bayaran.

Polis juga menutup siasatan kes berkenaan selepas mengetahui kaki yang ditemui itu adalah milik Tverdokhleb.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:57 AM