BOM lama (gambar kecil) ditemui pekerja MPS di tempat pembuangan sampah Pasar Besar Seremban.
BOM lama (gambar kecil) ditemui pekerja MPS di tempat pembuangan sampah Pasar Besar Seremban.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: “Saya hanya mengetahui ‘besi’ yang disimpan itu adalah bom selepas melihat kehadiran anggota polis dan orang ramai di Pasar Besar Seremban, pagi tadi (semalam),” kata Mohamad Fareez Zakaria, 29, yang menemui bom mortar lama dibuang di tempat pembuangan sampah pasar berkenaan, semalam.

Pembantu Am Majlis Perbandaran Seremban (MPS) itu, berkata dia bekerja lebih masa menjaga pasar berkenaan sebelum melihat kehadiran dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Menurutnya, dua lelaki berusia 50-an terbabit dilihat membuang tiga plastik sampah termasuk bom berkenaan di tempat pembuangan sampah.

“Pada mulanya lelaki terbabit meletakkan sampah berkenaan di luar tong lalu saya menegur supaya memasukkannya ke dalam tong disediakan tetapi mereka memberi alasan ia terlalu berat.

“Saya bersimpati melihat mereka kerana tidak terdaya mengangkatnya lalu meminta ditinggalkan di luar tong dan akan membantu membuangnya. Tiga plastik sampah itu mengandungi pakaian terpakai, kertas dan besi lalu saya mengambil ‘besi’ itu untuk disimpan di dalam stor kerana mahu menjualnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat kehadiran anggota polis sebelum dimaklumkan rakan sekerja mengenai penemuan bom di dalam stor apabila mahu memulakan tugas jam 8.30 pagi.

Katanya, dia masuk ke dalam stor itu untuk melihat bom berkenaan dan mendapati ia adalah besi yang disimpannya lalu menceritakan kepada rakannya dan anggota polis.

“Saya tidak tahu ia adalah bom kerana malam tadi (kelmarin) keadaan gelap dan hanya mengambil lalu menyimpannya tanpa memeriksa besi itu terlebih dahulu,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati ia adalah bom jenis mortar yang biasa digunakan dalam latihan tentera.

Katanya, anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) sudah menjalankan siasatan di lokasi dan mengesahkan bom itu tidak akan meletup.

“Bagaimanapun,siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui bagaimana ia ditemui dan dari mana ia diperoleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:41 AM