PENGHUNI pangsapuri, Chan Yoke Jee menunjukkan gambar sampah yang dibuang penduduk luar dalam pondok sampah tertutup yang disediakan khas untuk penduduk pangsapuri Prosperity Court.
PENGHUNI pangsapuri, Chan Yoke Jee menunjukkan gambar sampah yang dibuang penduduk luar dalam pondok sampah tertutup yang disediakan khas untuk penduduk pangsapuri Prosperity Court.
Mohd Rafi Mamat


PENDUDUK pangsapuri Prosperity Court di Lorong Bukit Sekilau 22 kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak membuang sampah di kawasan perumahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan pangsapuri berkenaan, Ong See Chong, 44, berkata, kebanyakan sampah yang dibuang di tepi tong sampah khas untuk penghuni itu dilakukan penduduk di luar kawasan pangsapuri itu.

Katanya, tong sampah di pangsapuri itu disediakan penghuni sendiri bagi keselesaan mereka dan memberi kemudahan kepada syarikat pengurusan sisa pepejal membuat pungutan sampah.

“Penghuni kecewa bila orang luar membuang sampah di tong khas yang kami sediakan, kerana kami membayar caj pengurusan setiap bulan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan masalah kepada penghuni kerana keadaan persekitaran menjadi kotor dan tidak selesa,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung, semalam.

Ong berkata, disebabkan tidak sanggup berdepan masalah lambakan sampah, pihaknya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM13,400 untuk membina pondok sampah.

Katanya, dua pondok tertutup disediakan yang setiap satunya menempatkan dua tong sampah milik Alam Flora Sdn Bhd, khas untuk penghuni pangsapuri itu sahaja.

Seorang penghuni pangsapuri, Chan Yoke Jee, 52, berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu sudah lama dikesan dan beberapa gambar diambil oleh penghuni sebagai bukti.

Katanya, pihaknya bertindak mencetak dan menampal gambar itu pada dinding pondok sampah sebagai peringatan namun ia tidak berkesan.

“Kami membuat laporan kepada pengurusan Alam Flora setiap kali berlaku lambakan sampah dan mereka datang dan membersihkannya.

“Saya berharap orang ramai tidak terus membuang sampah di kawasan perumahan kami kerana ia menjejaskan keselesaan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:00 AM