Kuala Lumpur: Kerajaan Arab Saudi menjemput Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneroka sektor tenaga di negara itu yang dianggarkan bernilai RM525 bilion hingga RM700 bilion dalam tempoh 10 tahun ini.

Pengerusi Saudi Electricity Company (SEC) Dr Saleh Hussein AlAwajji berkata, permintaan elektrik meningkat lapan peratus atau 5,000 hingga 6,000 megawatt setahun, sekali gus membuka peluang kepada organisasi seperti TNB untuk menerokanya.

“Setiap tahun, kami membina dua atau tiga loji tenaga dan kami berharap TNB turut serta dalam pembangunan terbabit berdasarkan pengalaman kerjasama dengan organisasi terbabit melalui Projek Air dan Tenaga Bebas Shuaibah (IWPP),” katanya ketika mewakili sembilan delegasi SEC yang mengadakan perjumpaan dengan Presiden TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

TNB dan SEC adalah ahli dalam konsortium bertanggungjawab membangunkan IWPP yang terletak 110 kilometer dari Jeddah.

Dr Saleh yang juga Timbalan Menteri Elektrik, Kementerian Air dan Elektrik Arab Saudi berkata, beliau tertarik dengan pengurusan operasi TNB yang mendorong Arab Saudi memberi peluang kepada pembekal tenaga yang berupaya menguruskan tenaga.

“Kami sedia menimbang untuk menghantar wakil SEC ke pusat latihan TNB untuk menimba pengalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:51 AM