Keadaan jerebu yang menyelubungi Tambak Johor minggu lalu. - Foto Reuters
Keadaan jerebu yang menyelubungi Tambak Johor minggu lalu. - Foto Reuters

Singapura: Majlis Alam Sekitar Singapura (SEC) dan Persatuan Pengguna-pengguna Singapura (CASE) sedang berusaha agar pasar raya, farmasi dan pembekal perabot supaya mengisytiharkan mereka tidak memperoleh atau menggunakan bahan kayu, kertas dan pulpa dari syarikat yang dituduh menyebabkan kebakaran di Indonesia hingga menyebabkan jerebu menyelubungi Asia Tenggara.

Dalam kenyataan bersama, SEC dan CASE berkata pasar raya utama, farmasi dan pembekal perabot ini mengusahakan beberapa outlet di mana pengguna membeli produk berasaskan kertas.

SEC dan CASE akan menghantar borang pengisytiharan itu kepada syarikat berkenaan dan anak syarikatnya hari ini dan menjangka mereka akan memberi maklum balas dalam tempoh seminggu.

Setakat ini, 12 daripada 17 syarikat yang disenaraikan sudah menandatangani dan menyerahkan borang pengisytiharan itu kepada SEC.

Baki lima lagi syarikat yang masih belum menyerahkan borang itu, SEC akan memulakan sekatan sementara berhubung penggunaan label hijau yang diberikan kepada syarikat berkenaan sementara menunggu siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 8:18 PM