Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din.
Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinobatkan sebagai organisasi/institusi korporat paling dipercayai di Malaysia pada tahun 2023 berdasarkan kajian terbaharu oleh salah satu firma penyelidikan pasaran terbesar dunia Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Kajian terbaharu ini menyaksikan TNB menduduki tangga teratas sebagai entiti paling dipercayai di Malaysia mengatasi lebih 100 jenama dalam kaji selidik sepanjang tujuh bulan mulai April 2023. Selain itu, TNB juga diiktiraf sebagai jenama paling dipercayai dalam industri utiliti, mempamerkan kejayaan TNB dalam membina hubungan yang teguh dengan rakyat Malaysia.

Ipsos Malaysia dalam siaran akhbar bertajuk; Ipsos Trust Track 2023: The Most Trusted Corporations and Institutions in Malaysia, mengumumkan nama lima syarikat teratas dengan TNB di tempat pertama, diikuti Keretapi Tanah Melayu Berhad dan seterusnya Shell, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Petron di tempat kelima.

Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din melahirkan kesyukuran atas pengiktirafan yang besar dan sangat bermakna terhadap perkhidmatan syarikat yang giat menerajui peralihan tenaga menuju pelepasan sifar bersih 2050.

"Kepercayaan dan keyakinan ini tidak boleh dibeli. Ia datang dari keyakinan masyarakat dan pendirian mereka terhadap amalan dan budaya kerja TNB. Pemegang taruh lazimnya selesa berurusan dengan organisasi yang dipercayai dan diyakini.

"Ini satu pengikirafan besar maknanya dan semoga kepercayaan ini akan menterjemahkan cabaran-cabaran kepada peluang niaga baru kepada TNB, untuk kita mengungguli penyelesaian tenaga mampan kepada pelanggan serta rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kaji selidik itu meliputi lebih 100 syarikat dan institusi di Malaysia dengan menemu bual lebih 7,000 responden yang memberi maklum balas bahawa kebanyakan syarikat berupaya mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan dalam industri masing-masing.

TNB pernah tersenarai antara lima syarikat paling dipercayai pada penyertaan sulungnya dalam kaji selidik Ipsos pada 2021.

Mengulas lanjut pencapaian 2023, Baharin berkata, sejak Lembaga Letrik Negara (LLN) ditubuhkan lebih 74 tahun lalu, TNB terus berbakti membekalkan tenaga elektrik kepada negara. "Ketika lebih 99 peratus rakyat sudah pun mendapat bekalan elektrik, peranan kami kekal dengan fokus memastikan bekalan berdaya harap demi membawa kehidupan sejahtera, Better, Brighter kepada rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, pengalaman menerajui industri tenaga elektrik lebih tujuh dekad, membolehkan TNB diyakini memimpin tiga projek utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), memacu Tenaga Boleh Baharu (TBB) pada skala besar dan inisiatif teknologi bersih sejajar sasaran Malaysia negara neutral karbon 2050.

Justeru, katanya, TNB menjadi penggerak utama peralihan tenaga bertanggungjawab yang bukan sahaja mementingkan alam sekitar tetapi juga membuka pintu kepada pelbagai peluang sambil memupuk inovasi teknologi, suatu dedikasi tanpa henti untuk membentuk landskap tenaga masa depan di Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 2:10 PM