PELBAGAI dulang bekas makanan dihasilkan dari sisa buangan pertanian.
PELBAGAI dulang bekas makanan dihasilkan dari sisa buangan pertanian.
BEBERAPA komponen penting yang terbabit dalam pem buatan produk bahan terbuang.
BEBERAPA komponen penting yang terbabit dalam pem buatan produk bahan terbuang.
.JERAMI padi dikumpulkan.
.JERAMI padi dikumpulkan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Sekali pandang bekas makanan yang ditunjukkan kelihatan seperti produk biasa terdapat di pasaran.

Bentuknya yang kemas dan licin membuatkan penulis terfikir dulang hidangan makanan itu diperbuat 100 peratus bahan polimer.

Cuma yang membezakan setiap bekas makanan itu adalah warnanya.

Senarai bahan asas yang tertera benar-benar menarik perhatian untuk lebih mendekati dulang berkenaan.

Begitu mengujakan apabila dulang hidangan makanan itu dibuat daripada sisa buangan pertanian.

Tiga daripada bahan buangan pertanian digunakan adalah daun nanas, jerami dan sekam padi, sementara kenaf pula bahan baharu digunakan untuk menghasilkan produk bermanfaat.

Dulang hidangan makanan itu adalah hasil penyelidikan Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Hamzah.

Produk inovasi yang mendapat anugerah pingat emas sempena Pameran Brussels Innova di Brussels, Belgium 2013 itu turut dibantu Penolong Pegawai Penyelidik Faewati Abdul Karim.

Reka cipta ini juga mendapat pingat perak sempena Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE) 2012 dan pingat emas pada Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2013.

Malah turut mendapat tiga perlindungan harta intelek kategori paten bersandarkan kepada tajuk reka cipta 'Bahan Plastik Nano Komposit : Kenaf', 'Bahan Plastik Nano Komposit : Daun Nanas' dan 'Bahan Plastik Nano Komposit : Sisa Padi'.

Selain itu, Unit Perniagaan MARDI pada masa ini turut menguruskan pengkomersialan teknologi itu bersama sebuah syarikat tempatan.

Bagi pencinta alam, inovasi ditampilkan penyelidik MARDI amat ditunggu-tunggu.

Pertamanya konsep kitar semula dibangunkan untuk menginovasikan produk baru yang mesra alam.

Keduanya, dari aspek jaminan keselamatan, berbanding penggunaan bahan polisterin yang membahayakan kesihatan.

Ketiganya, kebolehan produk berkenaan mengurai, malah sampel yang ditanam di dalam tanah menunjukkan tanda-tanda mereput dalam tempoh setahun.

Dianggarkan 0.5 juta tan metrik setahun sekam, daun dan jerami padi dihasilkan oleh industri beras di negara ini dan jumlahnya juga tinggi pada pengeluaran nanas.

Umum mengetahui bahan pembungkus polisterin mengandungi bahan karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengelaskan 'stirena' sebagai bahan karsinogen dan salah satu daripada agen penyebab kanser pada manusia.

Bahan kimia daripada bekas polisterin akan menyerap ke dalam makanan dan kemudian ke dalam tubuh manusia.

Selain itu, bahan pembungkus polisterin ini sukar dilupuskan dan mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar.

Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah melaksanakan usaha melarang penggunaan bahan polisterin di dalam kampus.

Dr Azman berkata, inovasi yang ditampilkan adalah berkaitan penghasilan bahan nanokomposit sebagai bekas hidangan makanan.

'Pengisi atau 'filler' nanokomposit ini adalah daripada sisa pertanian iaitu sekam padi, jerami padi, daun nanas dan batang kenaf.

"Bagaimanapun, kenaf tidak dikategorikan sebagai sisa pertanian, sebaliknya ia adalah tanaman komoditi baharu negara," katanya.

Menurutnya, sisa pertanian mempunyai potensi untuk ditukarkan kepada produk yang mempunyai bermanfaat dan mempunyai nilai tambah.

"Apabila ia dapat dilakukan, isu pencemaran alam sekitar dan kesukaran pelupusan dapat diselesaikan," katanya.

Nanokomposit katanya mempunyai ciri-ciri halangan yang tinggi, kekuatan dan kestabilan haba dan sejuk amat baik sebagai bahan pembungkusan.

"Ciri-ciri lain termasuk sifat fizikal, mekanikal dan tahan haba, selain kurang kebolehtelapan kepada gas dan kelembapan.

"Oleh itu nanokomposit berupaya memberikan sifat seperti pemanjangan hayat makanan dan kualiti," katanya.

seperti kanji, polimer, sisa pertanian dan 'nanoclay' bagi menghasilkan dulang makanan memenuhi ciri tertentu.

Nanokomposit ini katanya berasaskan sisa pertanian (sekam dan jerami padi dan daun nanas) serta kenaf (batang) yang diperkukuhkan dengan nanoclay.

Bersandarkan kepada itu katanya, MARDI melaksanakan penyelidikan berkaitan pembangunan nanokomposit berasaskan hasil buangan pertanian dan bahan baharu.

"Bahagian daun nanas biasanya akan dibuang atau dibiarkan kering sebelum dibakar.

"Begitu juga sekam dan jerami padi akan dibakar kerana ia menjadi amalan biasa oleh petani," katanya.

Kos pelupusan yang murah dan mudah menyebabkan teknik membakar sisa buangan dilaksanakan, meskipun mencemarkan alam sekitar.

"Akibatnya ia mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan manusia dan alam sekitar," katanya.

Melihat kepada kesan dibawa oleh pelupusan seperti yang diamalkanketika ini, Dr Azman menyifatkan amat wajar MARDI memainkan peranan untuk melakukan penyelidikan daripada hasil buangan pertanian.

"Justeru MARDI cuba membangunkan bahan yang dapat memberi manfaat kepada manusia dengan menggunakan formulasi tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:56 AM