MUKHRIZ (dua dari kiri) bersama Othman (dua dari kanan) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara Shakir (kiri) dan Rosly untuk projek usahasama ‘Biomass Pellet Plant’.
MUKHRIZ (dua dari kiri) bersama Othman (dua dari kanan) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara Shakir (kiri) dan Rosly untuk projek usahasama ‘Biomass Pellet Plant’.
Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Services Sdn Bhd (SPPMS) dan Diyou Future Biomass Sdn Bhd (DFB) menandatangani perjanjian usaha sama bagi membangunkan kilang palet untuk bahan bakar berasaskan jerami dan sekam padi yang pertama di negara ini membabitkan pelaburan sebanyak RM25 juta.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merangkap Pengerusi Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (SPPM), Datuk Othman Aziz berkata, kilang berkenaan dibangunkan di tapak berkeluasan 2.02 hektar yang dijangka beroperasi penghujung Mei ini di Sanglang, Jerlun.

Beliau berkata, SPPMS adalah anak syarikat SPPM dibawah MADA akan membekal dan mengedar input pertanian serta bahan bekalan ladang selain untuk meneroka potensi dalam mempelbagaikan bahan mentah berkenaan.

“Fasa satu projek ini akan menghasilkan kira-kira 100,000 tan metrik palet biomass setahun di mana kita anggarkan kira-kira 8,000 tan sebulan bahan bakar ini berasaskan jerami dan sekam padi.

“Kita menjangkakan perolehan kira-kira RM25 juta setahun daripada projek ini dan ia juga turut memberi manfaat kepada petani yang mahu menjual jerami mereka kepada syarikat DFB untuk menghasilkan bahan bakar,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian usaha sama yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di MADA, di sini, semalam.

Pada majlis itu, SPPMS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shakir Jamil Fisal manakala DFB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosly Yakub.

Othman berkata, SPPM akan membekalkan jerami yang diperoleh daripada petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA kepada DFB sebanyak 110,000 tan metrik setahun.

Beliau berkata, petani melalui PPK akan mendapat pendapatan baru hasil daripada pembekalan jerami yang selama ini dijadikan sebagai bahan buangan dan SPPM dengan kerjasama MADA akan mengadakan sistem pengumpulan jerami terbuang itu yang berupaya mengelak amalan pembakaran terbuka yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Proses pengumpulan jerami ini akan menambah aktiviti petani serta penduduk sekitar dengan ekonomi yang mendatangkan hasil serta menambah peluang pekerjaan. Projek ini juga mampu meningkatkan permintaan jerami sehingga 20 kali ganda daripada 400 tan metrik sebulan kepada 8,000 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata, perancangan masa depan akan mengembangkan kapasiti pengeluaran ke atas 400,000 tan metrik jerami yang masih terdapat di kawasan MADA dengan penambahan kilang palet nanti.

“Perancangan juga terarah kepada penjanaan kuasa elektrik dengan penubuhan ‘biomass power plant’ dengan keupayaan 10 Megawatt (MW) dengan keperluan jerami sebanyak 120,000 tan metrik setahun sebagai bahan bakar,” katanya.

Sementara itu, Rosly berkata, pihaknya menggunakan teknologi itu dari China manakala mesin pengeluaran dihasilkan dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:40 AM