AC/DC bersama Stevie Young (dua dari kiri) yang menggantikan Malcolm Young.
AC/DC bersama Stevie Young (dua dari kiri) yang menggantikan Malcolm Young.
Susunan Riadz Radzi


Lebih 300,000 tiket konsert jelajah Australia ‘Rock Or Bust’ band rock terkemuka dunia AC/DC habis dijual dalam masa satu jam selepas ia mula dijual pagi kelmarin.

Berikutan permintaan mendadak itu, promoter konsert berkenaan membuat keputusan menambah dua lagi lokasi konsert di Sydney dan Melbourne satu jam selepas itu.

Dalam konsert jelajah itu, AC/DC akan mengadakan persembahan di Stadium ANZ, Sydney pada 4 dan 7 November ini, QSAC Brisbane (12 & 14 November), Adelaide Oval (21 November), Stadium Domain, Perth (27 & 29 November) dan Stadium Etihad, Melbourne pada 6 dan 8 Disember.

Dalam konsert jelajah dunia Black Ice pada 2008 hingga 2010 lalu, keseluruhannya AC/DC mengadakan persembahan di depan lebih lima juta penonton di 108 bandar raya dalam 28 negara.

Konsert mereka di Adeliade Oval pada Mac 2010 dihadiri lebih 43,000 penonton.

Album Rock Or Bust yang dipasarkan pada 2 Disember tahun lalu ialah album pertama AC/DC tanpa ketua kumpulan dan pemain gitarnya, Malcolm Young yang kini meninggalkan band itu akibat masalah kesihatan.

Beliau digantikan Stevie Young yang juga anak saudaranya. Selain itu, AC/DC yang ditubuhkan di Sydney pada 1973 dianggotai Angus Young (gitar), Brian Johnson (penyanyi), Cliff Williams (bass) dan Phil Rudd (dram).

Bagaimanapun, pada 6 November tahun lalu Phil ditahan di rumahnya di Tauranga, New Zealand atas kesalahan mengancam membunuh dan memiliki dadah.

Dia yang didakwa di mahkamah bakal berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.

Walaupun Phil bermain untuk album Rock Or Bust, tetapi gambarnya tidak dimasukkan dalam kulit album berkenaan dan klip video.

Kini, tempat Phil digantikan bekas pemain dram AC/DC, Chris Slade yang secara rasminya menyertai band berkenaan dalam persembahan mereka di Grammy Awards, Februari lalu.

Chris juga akan bermain dalam konsert jelajah AC/DC tahun ini.

Sejak album sulung High Voltage pada 1975, AC/DC sudah menghasilkan 16 album studio termasuk Rock Or Bust. Secara keseluruhannya, album mereka terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia termasuk 71.5 juta unit di Amerika Syarikat saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:21 AM