AC/DC ketika ‘sihat’ (dari kiri) Brian Johnson, Cliff Williams, Angus Young, Phil Rudd dan Malcolm Young.
AC/DC ketika ‘sihat’ (dari kiri) Brian Johnson, Cliff Williams, Angus Young, Phil Rudd dan Malcolm Young.
Susunan Riadz Radzi


Kematian pemain gitar dan pengasas band rock & roll popular dunia AC/DC, Malcolm Young pagi kelmarin bukan saja me­nyedihkan peminat setia mereka, tetapi juga legenda muzik rock dunia.

Malcolm meninggal dunia pada usia 64 tahun selepas menderita dementia sejak beberapa tahun lalu.

Malcolm dan adiknya, Angus Young, 62, menubuhkan AC/DC di Sydney, Australia pada 1973. Band ini cukup popular dengan lagu seperti Highway To Hell, Back In Black, You Shook Me All Night Long dan Thunderstruck.

“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan kematian Malcolm Young. Dia ialah suami, bapa, datuk dan abang yang penyayang.

“Malcolm yang menderita akibat dementia sejak beberapa tahun lalu meninggal dunia di sisi keluarganya,” kata kenyataan itu yang turut dimuat naik di Facebook rasmi band itu.

Ia menerima lebih 56,000 komen daripada peminat dan rakan.

Masalah dementia turut membuatkan Malcolm terpaksa bersara dan tidak lagi mengadakan per­sembahan bersama AC/DC sejak 2014.

Menurut kenyataan itu, Malcolm dikenali sebagai pemain gitar, penulis lagu dan penerbit yang memberi banyak inspirasi.

“Dia tahu apa mahu dicapainya dan bersama Angus, mereka menakluk setiap pentas dan memberikan yang terbaik.

“Tidak ada yang kurang dalam melakukan yang terbaik buat peminat mereka,” katanya.

Penyanyi legenda Black Sabbath, Ozzy Osbourne turut memuat naik status di Twitter: “Amat menyedihkan apabila mengetahui seorang lagi rakan, Malcolm Young meninggal dunia.”

Pemain gitar Van Halen, Eddie turut memuat naik di Twitter: “Hari yang sedih dalam rock & roll.”

Pemain bass Kiss, Gene Simmons turut mengucap­kan takziah di Twitter.

“Malcolm seorang yang baik. Dia sentiasa bersikap baik. Saya masih ingat ketika mereka mula-mula mengadakan konsert jelajah Amerika Syarikat yang pertama. Pastinya dia akan dirindui,” tulisnya.

Selain itu, pemain gitar Guns N Roses, Slash; penulis novel seram, Stephen King, Paul Stanley (Kiss), Tom Morello (Audioslave), Bryan Adams, komposer Diane Warren dan penyanyi Def Leppard, Joe Elliot turut mengucapkan takziah menerusi laman sosial masing-masing.

Dalam pada itu, Angus dalam satu kenyataan berkata, Malcolm cukup penting dalam kehidupan dan kerjayanya.

“Sebagai adik, sukar untuk saya gambarkan dalam perkataan betapa bermaknanya Malcolm dalam kehidupan saya. Keakraban di antara kami memang unik dan istimewa.

“Legasi yang ditinggalkannya akan terus hidup selama-lamanya. Malcolm, anda sudah lakukan yang terbaik dan kerja anda sudah selesai,” katanya.

Malcolm meninggalkan isteri, O’Linda, dua anak iaitu Cara dan Ross serta tiga cucu.

Bulan lalu, abang mereka, George yang juga pemain gitar kumpulan Easybeats dan penerbit bersama album AC/DC meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Malcolm dilahirkan pada 6 Januari 1953 di Glasgow, Scotland. Pada 1963 dia bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya berpindah ke Australia.

Selepas menubuhkan AC/DC, mereka muncul dengan album sulung, High Voltage pada 1975. Setahun kemudian, mereka berhij­rah ke United Kingdom.

Walaupun tidak menonjol dalam AC/DC berbanding Angus dan penyanyi, Brian Johnson, Malcolm adalah individu penting dalam penciptaan lagu popular mereka.

Malah, Malcolm juga tulang belakang dalam penghasilan riff gitar hebat untuk lagu AC/DC.

Pemergian Malcolm juga menyaksikan hanya Angus menjadi satu-satunya anggota asal AC/DC yang tinggal.

Ketika di pertengahan konsert jelajah dunia Rock Or Bust tahun lalu, penyanyi Brian Johnson dinasihat supaya tidak meneruskannya apabila mengalami masalah pendengaran.

Dia kemudian digantikan penyanyi Guns N’ Roses, Axl Rose untuk baki persembahan konsert jelajah itu.

Pemain bass, Cliff Williams pula mengambil keputusan bersara selepas konsert jelajah itu berakhir.

Sebelum itu, pada 2014, pemain dram Phil Rudd meninggalkan AC/DC selepas terbabit dengan kesalahan jenayah.

Selain Angus dan Axl Rose, AC/DC kini dianggotai anak saudara Angus dan Malcolm, Stevie Young (gitar) dan bekas pemain dram mereka, Chris Slade.

AC/DC yang memiliki 17 studio album mencatat jualan album lebih 200 juta unit di seluruh dunia. Album ketujuh mereka, Back In Black yang dipasarkan pada 1980 terjual lebih 50 juta unit sekali gus menjadikannya album kedua paling laris sepanjang zaman.

Album terakhir mereka ialah Rock or Bust pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:14 PM