AC/DC antara band rock legenda dunia.
AC/DC antara band rock legenda dunia.
Susunan Michelle Gun


Perjalanan kumpulan rock popular dari Australia, AC/DC berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa tahun lalu.

Terbaru, kumpulan itu terpaksa menangguhkan 10 konsert jelajah mereka di Amerika Syarikat bagi mengelak penyanyi mereka Brian Johnson, 68, hilang deria pendengarannya.

Difahamkan, penangguhan itu dilakukan atas nasihat doktor yang bimbang Johnson berdepan risiko menjadi pekak sekiranya masih meneruskan persembahan.

Berita itu diumumkan AC/DC dalam laman web mereka dan memaklumkan konsert Rock or Bust pada 8 Mac hingga 4 April ini ditunda ke tarikh lain.

Malah, kumpulan terbabit mendedahkan mungkin menjemput artis undangan untuk konsert di 10 lokasi itu.

Bagaimanapun, AC/DC belum membuat sebarang pengumuman mengenai dua konsert di Britain pada Jun ini.

Johnson menyertai AC/DC pada 1980 selepas penyanyi asal kumpulan itu, Bon Scott meninggal dunia.

Album pertama AC/DC bersama Johnson berjudul Back In Black yang dipasarkan pada 25 Julai 1980 menjadi album kedua terlaris di dunia selepas album Thriller, Michael Jackson.

Hingga hari ini, Back In Black terjual lebih 50 juta unit di seluruh dunia.

Tahun lalu, AC/DC terpaksa menjalani konsert jelajah tanpa pemain gitar Malcolm Young yang disahkan menghidap penyakit demensia.

Sebelum itu, biarpun simptom demensia semakin jelas, dia masih meneruskan jelajah konsert Black Ice yang berlangsung dari 2008 hingga 2010.

Namun, disebabkan penyakit itu, pemain gitar berusia 63 tahun itu terpaksa mempelajari semula semua lagu yang dipersembahkan untuk konsert itu.

Akhirnya, Young mengambil keputusan untuk meninggalkan AC/DC pada 2014.

Tidak cukup dengan masalah mereka, anggota AC/DC sekali lagi berdepan cabaran apabila pemain dram Phil Rudd terpaksa meninggalkan kumpulan itu atas pertuduhan cubaan membunuh, mengugut dan memiliki dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 11:45 AM