OSBOURNE (tengah), Iommi (kanan) dan Butler kekal legenda muzik rock sepanjang zaman.
OSBOURNE (tengah), Iommi (kanan) dan Butler kekal legenda muzik rock sepanjang zaman.
PERSEMBAHAN Black Sabbath sentiasa dinanti-nanti peminat muzik rock dan heavy metal.
PERSEMBAHAN Black Sabbath sentiasa dinanti-nanti peminat muzik rock dan heavy metal.
Susunan Riadz Radzi


Dalam muzik rock, mereka adalah legenda. Sesiapa saja di dunia yang mengaku me­minati muzik rock khususnya heavy metal, lagu-lagu daripada Black Sabbath wajib ada dalam koleksi anda.

Kelmarin, Black Sabbath yang dianggotai Tony Iommi, 67 (gitar), Ozzy Osbourne, 66 (penyanyi) dan Geezer Butler, 66 (bass) mengumumkan konsert jelajah terakhir mereka bermula Januari tahun depan di Amerika Syarikat (AS) sebelum bersara.

Konsert jelajah berjudul The End itu akan bermula di Omaha, Nebraska pada 20 Januari dan berakhir di Madison Square Garden, New York pada 25 Februari tahun depan.

Selain itu, konsert jelajah berkenaan diteruskan ke Australia dan New Zealand pada April tahun depan. Antara lokasinya ialah Melbourne, Sydney, Perth, Adelaide, Brisbane dan dua lokasi di New Zealand yang belum diumumkan.

Difahamkan, banyak lagi lokasi akan diumumkan bulan depan sempena konsert jelajah terakhir itu.

Iommi, Osbourne dan Butler yang juga anggota asal Black Sabbath sejak 47 tahun lalu menjanjikan konsert berkenaan akan diingati selama-lamanya dengan persembahan dan produksi paling mantap.

Bagaimanapun, mereka tidak mengumumkan siapa akan bermain dram selepas pengunduran pemain dram asal, Bill Ward, 67, pada 2013 berikutan masalah kontrak.

Dalam konsert jelajah mereka sebelum ini, Tommy Cluefetos diambil sebagai pemain dram manakala pemain dram Rage Againts The Machine, Brad Wilk bermain untuk album reunion berjudul 13 pada 2013.

Dalam pada itu, Black Sabbath juga akan merakamkan album terbaru mereka yang juga album terakhir.

Osbourne dalam kenyataannya September tahun lalu berkata, dia bersama Iommi dan Butler akan memulakan pencarian lagu baru pada awal tahun ini.

“Jika kami nak buat album, saya akan lakukan sebelum usia 70 tahun.

“Masa untuk kami sudah suntuk. Lagipun syarikat rakaman meminta kami merakam satu lagi album. Saya yakin penerbit Rick Rubin akan bekerjasama lagi dengan kami,” katanya.

Album 13 yang dipasarkan pada 2013 adalah album ke-19 mereka sejak muncul dengan album sulung berjudul Black Sabbath pada 1970.

Ia juga album pertama menggabungkan kembali Iommi, Osbourne dan Butler selepas album Never Say Die pada 1978.

Album-album Black Sabbath dijual lebih 70 juta di seluruh dunia dan mereka dilabel sebagai Band Metal Terbaik sepanjang zaman oleh MTV. VH1 pula meletakkan mereka di tangga kedua dalam senarai 100 Artis Hard Rock Terbaik manakala majalah Rolling Stone meletakkan mereka di tangga ke-85 dalam senarai 100 Artis Terbaik Sepanjang Zaman.

Black Sabbath turut disenaraikan dalam UK Music Hall of Fame pada 2005 dan Rock and Roll Hall of Fame pada 2006. Mereka juga pernah memenangi dua Grammy Awards bagi kategori Persembahan Metal Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:27 AM