KECEDERAAN Carillo (kiri) resahkan kem Kelantan.
KECEDERAAN Carillo (kiri) resahkan kem Kelantan.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Menjelang aksi bertemu Terengganu di tempat lawan malam ini, skuad Kelantan mula dilanda resah apabila menerima khabar buruk mengenai kecederaan buku lali penyerang import Erwin Carillo.

Semuanya kini bergantung kepada keputusan pemeriksaan akhir pegawai perubatan pasukan dan perkara itu menuntut jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah supaya lebih berhati-hati untuk tidak meletakkan penyerang dari Colombia itu dalam keadaan lebih berisiko.

“Erwin masih belum pulih sepenuhnya dan sama ada dia akan diturunkan atau tidak bergantung kepada keputusan perubatan. Dalam tempoh latihan ringan tiga hari lalu, saya masih belum dapat menilai prestasi sebenar pemain itu kerana pergerakannya agak terbatas.

“Bagaimanapun, kami masih ada Emmanuel Kenmogne, Mohd Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani. Tetapi, saya tidak boleh nafikan kami tetap perlukan kudrat Erwin,” katanya semalam.

Dalam pada itu, bekas pengendali pasukan kebangsaan itu turut menyifatkan perlawanan malam ini sebagai ujian pertama selepas mengambil alih tugas daripada George Boateng, 25 Mac lalu.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, setakat ini beliau puas hati dengan prestasi pemain dan sudah mengenal pasti kelemahan sekali gus mencipta ruang memperbaiki posisi dan taktikal.

Mohd Azraai juga yakin pasukan Kelantan akan lebih mantap dalam perlawanan bertemu Terengganu berdasarkan komitmen tinggi ditunjukkan semua pihak terutamanya pemain.

“Pemain nampaknya bersemangat tinggi untuk bertemu pasukan bimbingan Abd Rahman Ibrahim itu. Sudah tentu prestasi mereka tak boleh dipandang ringan.

“Terengganu mempunyai pemain berkaliber dan kami perlu waspada dengan import mereka Issey Morgan Nakajima Farran, Paulo Rangel serta Vincent Bikana selain Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi dan Muhamad Ashaari Shamsuddin,” katanya.

The Red Warrior bagaimanapun tidak berhasrat bermain secara bertahan sebaliknya akan mencari ruang memastikan sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:23 AM