PEROVIC (kanan) gagal pamer aksi terbaik ketika menentang Selangor.
PEROVIC (kanan) gagal pamer aksi terbaik ketika menentang Selangor.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Walaupun bergelut dalam kempen Liga Super musim ini, jurulatih Sime Darby FC Ismail Zakaria tetap percaya anak buahnya mampu mempamerkan perwatakan berbeza untuk mengejutkan Kelantan bagi aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Selepas merekod kekalahan kelima apabila kecundang 2-3 kepada Selangor, Sabtu lalu dan terperosok di dasar liga, kemampuan Sime Darby mengekalkan status selaku ‘pembunuh gergasi’ dalam kempen Piala FA mula diragui.

Bagi Ismail, peluang mencipta kemenangan ke atas Kelantan 50-50 namun percaya kelebihan taktikal bakal menjadi penentu kejayaan pasukan.

“Saya anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang, tapi jika pemain beraksi seperti menentang Johor DT dan PDRM dalam liga sebelum ini, tidak mustahil Kelantan dapat dikalahkan.

“Kalau kita lihat, Kelantan juga tewas kepada Terengganu minggu lalu dan mereka juga menyesuaikan diri dengan rentak permainan jurulatih baru (Mohd Azraai Khor Abdullah) dan sudah pasti corak taktikal akan menjadi penentu esok (hari ini),” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ismail pernah membawa Sime Darby ke final 2012 sebelum tewas kepada Kelantan namun situasi kini berbeza dengan pasukannya dihimpit masalah prestasi buruk pemain import.

Beliau memberi kata dua kepada mereka khususnya pemain tengah Dilshod Sharofetdinov dari Uzbekistan, Marko Perovic (Serbia) dan penyerang Nemanja Vidakovic (Serbia) supaya menyerlah jika mahu kekal.

“Pemain pertahanan import Ivan Dragicevic tidak akan beraksi esok (malam ini) kerana masih cedera dan saya harap import yang diturunkan memberi aksi sebenar. Memang prestasi pemain import tidak konsisten tapi saya masih mahu memberi peluang kepada mereka dalam satu, dua perlawanan lagi.

“Fokus utama kami adalah kekal dalam Liga Super, tak guna kami menang Piala FA tapi tersingkir ke Liga Perdana musim depan. Tapi kemenangan ke atas Kelantan penting buat menyuntik semangat pemain untuk mengharungi cabaran liga,” kata Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:43 AM