Ko Olina, Amerika Syarikat: Kim Sei Young melakukan pukulan chip untuk mencatat par sekali gus memaksa aksi diheret ke play-off sebelum membenam eagle bagi mengalahkan Park In-Bee di kejohanan LPGA LOTTE.

Sei Young yang mendahului pemain lain dengan kelebihan satu pukulan sebelum ke pusingan akhir, menamatkan saingan dengan satu di atas par 73 untuk mengumpul keseluruhan 11 di bawah 277.

Dia berkongsi kedudukan dengan pemain nombor tiga dunia, In-Bee yang mencatat satu di bawah 71 di pusingan akhir.

Sei Young yang memenangi gelaran LPGA pertamanya di Pure Silk-Bahamas, Februari lalu, hampir berputih mata apabila pukulan drive yang dilakukan di lubang ke-18 tersasar ke dalam kolam.

Selepas mengambil jatuhan, pukulan ketiganya tidak singgah di green manakala In-Bee yang membuat pukulan dari dalam rough, mendaratkan bolanya kira-kira 60 kaki dari lubang. In-Bee gagal mencatat birdie manakala Sei Young melakukan chip menarik untuk membenam par sekali gus mengheret permainan ke play-off.

“Saya cuma mahu meletakkan bola dengan dengan lubang kerana saya tidak adapilihan,” kata Sei Young.

Kedua-dua pemain kembali ke kotak tee lubang ke-18 untuk play-off dan kedua-duanya membuat pukulan drive selamat bagi mengelak daripada sebarang kesilapan.

Sei Young melakukan pukulan kedua dengan iron lapan dari jarak 154 ela dan bolanya melantun sebelum meleret masuk ke lubang untuk eagle. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:55 AM