BROOKE hanya punyai kelebihan satu pukulan. -Foto AFP
BROOKE hanya punyai kelebihan satu pukulan. -Foto AFP

LOS ANGELES: Kehilangan rentak di hujung permainan menyaksikan Brooke Henderson hanya berkelebihan satu pukulan pada Kejuaraan Lotte Jelajah LPGA dengan saingan kini memasuki pusingan akhir.

Pemain berbakat berusia 20 tahun dari Kanada itu dilihat mampu selesa dengan kelebihan empat pukulan menuju ke pusingan keempat selepas merakam par 72 pada saingan yang berlangsung di Kelab Golf Ko Olina, Oahu.

Namun rentak Henderson tersekat apabila dia mencatat bogey berganda pada par tiga di lubang ke-16 disusuli bogey pada lubang ke-18 sekaligus sekadar melakukan satu di bawah par 73 pada pusingan terbabit.

Kesilapan pada lubang terakhir dilihat memberi peluang kepada pencabar lain yang ketinggalan sebelum ini untuk kembali memberi saingan.

Pemain Amerika Syarikat, Mo Martin ketinggalan satu pukulan apabila mencatat lapan di bawah par selepas tiga pusingan.

Martin berjaya memberi saingan pada pusingan ketiga selepas membenam eagle pada par lima di lubang ke-13 untuk terus menghimpit kedudukan Henderson selaku pendahulu.

Pemain Jepun, Nasa Hataoka dan pemain Korea Selatan, Park In-bee mencatat tujuh di bawah par yang menyaksikan Hataoka mencata empat di bawah par 68 dan Park membenam satu di bawah par 71.

Bintang China, Feng Shanshan terlepas peluang untuk menghuni kelompok atasan apabila meraih dua di atas par 74 untuk terikat di kedudukan kelima bersama pemain Amerika Syarikat Lizette Salas dan ketinggalan tiga pukulan.

-AFP

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 6:58 PM