Augusta, AS: Jordan Spieth melengkapkan permulaan 36 lubang terhebat dalam sejarah Masters AS semalam, mencatat enam bawah par 66 di Augusta National sekali gus menyamai catatan paling bagus selepas separuh saingan pada mana-mana kejohanan utama.

Pemain Amerika berusia 21 tahun itu mengumpul 14 bawah par 130 selepas dua pusingan dan pusingan tanpa bogey semalam membantu Spieth menyamai rekod Masters apabila mendahului lima pukulan di depan rakan senegara Charley Hoffman.

“Bila-bila masa anda mencatat rekod di sini memang mengagumkan,” kata Spieth. “Saya amat teruja dengan corak permainan sendiri.”

Pemain ranking keempat dunia itu memecahkan rekod terbaik 36 lubang Masters AS, 13 bawah par 131 dicatat Ray Floyd pada 1976 dan hampir memperbaiki rekod dua pusingan kejuaraan utama 130.

Spieth terlepas birdie dari jarak tujuh kaki pada lubang ke-18 yang memungkinkannya mencatat 129, berakhir dengan par bagi menyertai kelompok pemain dengan catatan 130 termasuk pemain England, Nick Faldo pada Terbuka British 1992 di Muirfield, pemain AS, Brandt Snedeker pada Terbuka British 2002 di Lytham dan pemain Jerman, Martin Kaymer pada Terbuka AS 2014 di Pinehurst.

“Tidak tahu sama ada catatan ini memberi makna dalam sejarah,” ujar Spieth. “Saya hanya tahu saya mempunyai sasaran yang bagus bagi birdie dan membacanya dengan baik.”

Spieth yang memburu kejuaraan utama sulungnya selepas naib juara pada penampilan sulung Masters tahun lalu, berkongsi pendahuluan terbesar selepas 36 lubang bersama Floyd pada 1976, Jack Nicklaus pada 1975 dan Herman Keiser pada 1946, selepas Hoffman berakhir dengan 68 menerusi satu bogey.

Dominasi Spieth selepas 36 lubang, dengan 15 birdie berbanding satu bogey, mencetus memori kemenangan rekod Tiger Woods pada Masters 1997 bagi kejuaraan utama sulungnya. Woods akan kekal juara termuda Masters dengan kira-kira lima bulan sekalipun jika Spieth menang tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:10 AM