AFP

Augusta, Amerika Syarikat: Jordan Spieth (gambar) mengatasi acahan Phil Mickelson serta Justin Rose sebelum muncul juara Masters, kejuaraan utama pertamanya dengan kelebihan empat pukulan.

Melengkapkan dominasi sepanjang minggu di Lapangan Kebangsaan Augusta, Spieth mencatat dua bawah par 70 untuk mengumpul keseluruhan 18 bawah par 70, sekali gus menyamai rekod 72 lubang yang pernah dicatat Tiger Woods pada 1997.

“Tidak dapat dinafikan ini hari paling hebat dalam hidup saya,” kata Spieth. “Ia sesuatu yang luar biasa. Ia seolah-olah mimpi yang menjadi kenyataan.”

Spieth merangkul jaket hijau yang menjadi simbol juara Masters selain wang tunai AS$1.8 juta (RM6.68 juta), sekali gus menafikan peluang dua lagi juara kejohanan utama untuk merangkul kejuaraan seterusnya.

“Ia kemenangan yang sangat getir,” kata Spieth. “Dengan kelibat dua juara di kejohanan utama yang berada di belakang saya, saya sudah tentu tidak boleh leka.”

Rose, juara Terbuka AS 2013, mencatat 70 pukulan untuk berkongsi kedudukan kedua dengan Mickelson yang mencatat 69 pukulan.

“Saya bermain dengan baik, tetapi saya memerlukan sesuatu yang luar biasa. Saya gagal mencipta keajaiban itu,” kata Mickelson. “Saya tidak berupaya menyamai permainan Jordan.”

Pilihan utama, Rory McIlroy yang memburu gelaran utama ketiga berturut-turut untuk melengkapkan karier Grand Slam, menduduki tempat keempat selepas mengumpul 276 pukulan, satu pukulan mengatasi pemain Jepun, Hideki Matsuyama.

Woods yang pernah menjuarai 14 kejohanan utama, mencatat 73 pukulan kelmarin untuk berkongsi kedudukan ke-17 dengan 283 pukulan keseluruhan dan ia keputusan terbaiknya sejak 2013.

“Jika difikirkan mengenai keadaan saya sebelum ini, saya boleh berbangga dengan apa yang saya capai hari ini,” kata Woods.

Spieth muncul naib juara kepada Bubba Watson di Masters tahun lalu selepas melepaskan pendahuluan pada sembilan lubang pertama tetapi kali ini, dia tidak menoleh ke belakang.

Spieth yang bakal melonjak ke tangga kedua ranking dunia berbanding tangga keempat sebelum ini, muncul pemain kedua paling muda pernah menjulang gelaran Masters.

Spieth lima bulan lebih tua berbanding Woods ketika menjuarai kejohanan utama pertamanya pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:16 AM