Southampton: Ronald Koeman akur Southampton kini hanya menyasarkan Liga Europa selepas mengaku pasukannya tidak mungkin mampu menghuni kelompok empat teratas.

Saints bertemu Hull City di Stadium St Mary’s malam ini di tangga ketujuh, lapan mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester City dengan baki tujuh perlawanan Liga Perdana.

Hull yang terdesak dan menghuni satu tangga serta dua mata di atas tiga pasukan tercorot, akan memastikan pasukan Steve Bruce hadir dengan motivasi tinggi dan kemenangan di tempat sendiri belum pasti buat Southampton.

Pengurus Southampton Koeman menerima hakikat pasukannya perlu mengkaji semula sasaran musim ini selepas menghabiskan hampir keseluruhan kempen memburu laluan ke Liga Juara-Juara.

Beliau menegaskan, tiket ke pertandingan kedua bola sepak Eropah itu tidak harus dianggap kegagalan.

“Anda perlu realistik,” jelas Koeman. “Tumpuan kami kini adalah menduduki tangga kelima, enam atau tujuh. Jika Saints layak ke Liga Europa, ia seperti layak ke Liga Juara-Juara.”

Usaha Koeman melonjakkan kelab itu selepas pemergian beberapa pemain utama ketika pramusim menyaksikan legenda Belanda itu dijangka menjadi calon anugerah pengurus terbaik tahunan di England.

Kemerosotan prestasi sejak kecundang di tangan Crystal Palace pada Piala FA hujung Januari lalu menjejaskan impian Southampton memecah monopoli nama-nama besar di kelompok teratas liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:27 AM