AFP

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan beliau mahu mengatasi Arsenal dan Manchester United selepas pasukannya menghampiri tempat ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Southampton.

Sepakan menakjubkan Philippe Coutinho dari jarak 27 meter meletakkan Liverpool di depan pada minit ketiga di St Mary’s kelmarin dan selepas beberapa rayuan penalti Southampton tidak diendahkan, Raheem Sterling memastikan kemenangan pada lewat perlawanan.

Liverpool berdepan pasukan tangga kedua Manchester City hujung minggu ini sebelum menentang kelab tangga keempat Manchester United dan pasukan tangga ketiga Arsenal dalam tempoh enam minggu akan datang dan Rodgers yakin mereka boleh merapatkan jurang dua mata yang memisahkan mereka dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Ditanya jika beliau bimbang mengenai jadual Liverpool termasuk kunjungan ke Besiktas bagi aksi Liga Europa awal pagi Jumaat ini, Rodgers membalas: “Tidaklah sangat.”

“Kami mungkin berada di awal musim kerana cara kami bermain. Tapi apabila pasukan berada dalam keadaan ini dalam tempoh dua setengah bulan, tiga bulan, maka kami ternanti-nanti setiap perlawanan.

“Kami mempunyai Man City dan Man United di laman sendiri, Arsenal di gelanggang lawan. Bagi kami ia satu langkah besar hari ini, memandangkan permulaan musim kami. Ia benar-benar menunjukkan pemain konsisten.”

Ketika Rodgers meraikan kemenangan itu, beliau sedih dengan sambutan diterima bekas pemain Southampton, Adam Lallana dan Rickie Lambert yang berpindah ke Anfield tahun lalu.

Sekalipun Lambert diterima baik penyokong tuan rumah, Lallana diejek dan dicemuh dan Rodgers turut kecewa pemain itu tidak dihargai dalam program hari perlawanan.

Filip Djuricic yang tampil dalam kesebelasan utama Saints buat kali pertama, ditolak rayuan penaltinya oleh pengadil Kevin Friend ketika pengurus Ronald Koeman berasakan rayuan kedua, apabila penyerang pinjaman Serbia itu jelas dijatuhkan Joe Allen, sepatutnya diberikan.

Southampton turut berang apabila Simon Mignolet meluru keluar dari kawasannya untuk menghalang sepakan lambung Eljero Elia sebelum rehat, insiden yang menyaksikan bola dirembat ke dada penjaga gol Liverpool itu sebelum melantun dan terkena tangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:18 AM