London: Steve Bruce bersetuju dengan kontrak baru untuk kekal sebagai pengurus Hull City, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Hull menggunakan laman sosial Twitter rasmi mengesahkan pengendali berusia 54 tahun itu akan kekal bersama mereka bagi musim keempat.

Bekas bos Sunderland itu mengambil alih di Stadium KC pada musim panas 2012 dan membantu mereka kembali ke Liga Perdana.

Bruce juga sudah mengemudi Hull layak ke final Piala FA apabila kalah kepada Arsenal pada musim lalu serta membimbing mereka beraksi pada pertandingan Eropah buat kali pertama.

“Saya bangga komited dengan masa depan saya di kelab ini, kami banyak meraih kejayaan sejak beberapa tahun lalu dan berada di sini (Liga Perdana), tapi ini hanya satu permulaan perjalanan,” kata Bruce.

“Usaha mengekalkan aksi dalam Liga Perdana amat genting buat kami ketika ini selain usaha meningkatkan kemudahan latihan dan kami berhasrat untuk terus mantap dan menjadi sebuah kelab Liga Perdana yang diurus dengan baik.

“Saya mahu berterima kasih kepada pemilik kerana sokongan berterusan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:01 AM