Newcastle: Ronald Koeman (gambar) menegaskan Southampton mempunyai keupayaan mencabar tempat ke Liga Juara-Juara.

Saints kembali merampas tangga ketiga Liga Perdana daripada Manchester United selepas menang 2-1 ke atas Newcastle di laman lawan kelmairn, kemenangan pertama mereka di St James’ Park dalam tempoh hampir 18 tahun.

Kini tidak kalah dalam lapan perlawanan bagi semua pertandingan, termasuk kemenangan menarik ke atas United di Old Trafford minggu lalu, Saints terus meningkat meskipun kehilangan beberapa pemain utama kerana kecederaan dan panggilan skuad kebangsaan.

“Ia kemenangan ketiga kami di laman lawan dalam masa seminggu dan mungkin ia yang terbaik daripada tiga perlawanan itu,” jelas pengurus Southampton itu selepas pasukannya turut menyingkirkan kelab divisyen dua Ipswich daripada Piala FA.

“Kami mempunyai semangat hebat serta keyakinan. Ya, kami kehilangan khidmat beberapa pemain penting, tapi bezanya kami mempunyai pemain muda berbakat dan tampil dalam pasukan yang beraksi dengan tersusun dan ia membantu mereka,” ujar pengendali dari Belanda itu.

“Kami yakin dengan pemain muda ini dan tidak sukar buat mereka tampil dalam pasukan kerana cara kami bermain memudahkan mereka.”

Southampton dianggap calon tersingkir ke liga bawahan berikutan kemelut pada pramusim yang menyaksikan beberapa pemain utama berpindah ke kelab pencabar Liga Perdana, manakala Koeman hadir Jun lalu selepas bekas pengurus Mauricio Pochettino meninggalkan St Mary’s untuk mengambil alih di Tottenham Hotspur. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:50 AM