BELLINGHAM meraikan kejayaannya meledak gol bersama Alexander-Arnold dengan gaya sambutan ‘serigala’. -FOTO AFP
BELLINGHAM meraikan kejayaannya meledak gol bersama Alexander-Arnold dengan gaya sambutan ‘serigala’. -FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Jude Bellingham berkata gaya sambutan 'serigala' dengan Trent Alexander-Arnold selepas menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 England ke atas Serbia ketika memulakan kempen Euro 2024 mereka adalah satu tanda terima kasih kepada kakitangan di belakang takbir pasukan itu.

Bellingham adalah pemain terbaik perlawanan di Gelsenkirchen di atas persembahan cemerlang yang menghidupkan perlawanan pembukaan yang agak suram untuk 'Three Lions' di Jerman.

Pemain berusia 20 tahun itu melakukan tandukan ke sudut atas pada minit ke-13 dari hantaran silang Bukayo Saka kemudiannya meraikan gol itu dengan duduk sebelah lutut bersama pemain Liverpool, Alexander-Arnold, menutup muka mereka dengan sebelah tangan.

"Sambutan itu adalah daripada permainan yang kami mainkan dipanggil 'Wolf' dan salah seorang kakitangan belakang takbir akan sentiasa memegang mukanya seperti itu apabila dia tidak tahu apa yang sedang berlaku," kata Bellingham.

"Jadi ia lebih kepada sambutan untuk menghargai kakitangan di belakang takbir yang melakukan begitu banyak kerja setiap hari dan mereka tidak akan menerima apa-apa anugerah seperti ini (trofi pemain terbaik perlawanan) atau mendapat detik-detik yang kami dapat miliki di atas padang.

"Tetapi kami sangat menghargai mereka dan penting dapat mengekalkan suasana itu dalam kejohanan seperti ini."

Permainan yang dimaksudkan adalah misteri pembunuhan di mana seorang pemain dipilih sebagai 'serigala', manakala semua orang menutup mata, dengan yang lain kemudiannya perlu menentukan siapa yang dipilih.

Bellingham dan Alexander-Arnold menjalinkan hubungan rapat di luar padang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keputusan Gareth Southgate untuk meletakkan Alexander-Arnold di bahagian hadapan berbanding peranannya sebagai bek kanan ketika di Liverpool dipenuhi dengan keputusan yang bercampur-campur, tetapi Bellingham berharap percubaan itu diteruskan ketika kejohanan ini berlangsung.

"Dia membuatnya begitu mudah bagi saya kerana dia dapat mengawal permainan dengan sangat baik dari segi pertahanan dalam kedudukan itu," tambah Bellingham.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:51 PM