MEUNIER menjalani sesi latihan bersama skuad Belgium sebelum mengalami kecederaan. -FOTO AFP
MEUNIER menjalani sesi latihan bersama skuad Belgium sebelum mengalami kecederaan. -FOTO AFP
Reuters

Frankfurt, Jerman: Bek kanan Belgium, Thomas Meunier dikhabarkan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 10 hari lagi dan dia akan menyertai skuad itu di Kejohanan Eropah, maklum jurulatih, Domenico Tedesco.

Meunier kini berada di rumahnya di Belgium untuk menjalani proses rawatan pemulihan akibat kecederaan hamstring dan Tedesco mempunyai masa sehingga Ahad untuk menamakan pengganti dalam skuad itu menjelang aksi pembukaan pasukannya menentang Slovakia pagi ini.

"Dia akan dapat menyertai pasukan dalam masa seminggu setengah. Itulah salah satu sebab saya tidak membuat perubahan dengan skuad," kata Tedesco.

"Saya tidak mahu menggugurkan Meunier kerana dia menunjukkan betapa dirinya begitu bermotivasi (untuk pulih). Saya gembira kecederaan itu tidak terlalu teruk dan dia masih boleh datang ke Jerman."

Keadaan itu juga menyaksikan Meunier akan terlepas perlawanan kedua Kumpulan E Belgium menentang Romania Sabtu ini tetapi mempunyai peluang untuk cergas menjelang pertembungan terakhir kumpulan menentang Ukraine pada 26 Jun.

Pertahanan Belgium terjejas teruk akibat kecederaan pertahanan menjelang Euro 2024 dengan Axel Witsel juga mungkin terlepas perlawanan dengan Slovakia.

Bek tengah tetap Jan Vertonghen dan Arthur Theate kembali berlatih selepas diketepikan tetapi tidak pasti akan akan bermain pagi nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 5:48 PM