London: Shane Long menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membantu Southampton mengatasi Ipswich Town 1-0 pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Saints yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, layak ke pusingan keempat dan bakal bertemu Crystal Palace, pasukan yang kini dibimbing bekas pengurus Southampton Alan Pardew.

Ipswich bermain baik ketika bertemu Southampton pada perlawanan sebelum ini dan berjaya mengikat Saints 1-1 di St Mary.

Awal pagi semalam, Long terus menceriakan pasukannya menerusi jaringan pada minit ke-19 ketika Saints dilihat semakin bernafsu selepas mengalahkan Manchester United, Ahad lalu.

Cubaan pemain Saints James Ward-Prowse dihalang pertahanan Ipswich Tommy Smith, tetapi bola singgah di kaki Long yang melepaskan rembatan kencang bagi menghasilkan gol tunggal perlawanan.

“Ia perlawanan yang sangat sukar,” kata Long. “Cuaca berangin dan permukaan padang menjadi lembap. Ipswich menduduki tangga ketiga Liga Kejuaraan dan bukan mudah bagi kami untuk mengatasi mereka.”

Ketika pertengahan babak pertama, Southampton kehilangan Victor Wanyama akibat masalah hamstring, tetapi pengurus Ronald Koeman berkata, beliau tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan pemain baru ketika tempoh perpindahan pemain bulan ini.

“Apa yang berlaku ke atas Wanyama adalah satu yang sukar untuk diterima,” kata Koeman. “Begitupun, saya tidak akan tergesa-gesa mencari pemain baru kerana kami mempunyai pemain muda.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:10 AM