ALANG  mencetus huru-hara di kampung Penchala.
ALANG mencetus huru-hara di kampung Penchala.
PERCINTAAN Uda dan Dara menerima halangan daripada Datin Zaiton.
PERCINTAAN Uda dan Dara menerima halangan daripada Datin Zaiton.
ANTARA babak Uda dan Dara.
ANTARA babak Uda dan Dara.
FARIDAH (dua dari kiri) sebagai Dara pada 1972.
FARIDAH (dua dari kiri) sebagai Dara pada 1972.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Naskahnya lebih segar dan kena dengan perkembangan semasa. Matlamat pementasannya pula bagi mengenang memori bersama seorang rakan lama serta menghargai sumbangannya dalam perkembangan sastera tanah air.

Lebih daripada itu, pementasan muzikal Uda dan Dara juga bertujuan membantu mengumpul dana bagi penubuhan Pusat Sumber Usman Awang untuk memelihara karya serta melindungi warisan sastera, Sasterawan Negara yang meninggalkan kita pada 2001 ini.

Justeru, tidak relevan jika ada segelintir pihak mempertikaikan beberapa penambahbaikan dalam pementasan naskah muzikal Uda dan Dara arahan Datuk Faridah Merican yang berlangsung di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Art Centre, Sentul West, Kuala Lumpur sejak 2 April hingga 11 April ini.

Sebagai ‘Dara’ versi pertama pementasan di Teater Eksperimental, Universiti Malaya, Kuala Lumpur arahan Datuk Rahim Razali pada 1972, Faridah yang juga pengasas The Actors Studio Seni Teater Rakyat bersama suaminya, Joe Hasham sejak 1989 cuba menyuntik elemen kontemporari dalam karya klasik ini.

Mendekati pemikirannya, Faridah mencari elemen segar dan mahu mengangkat karya klasik ini agar lebih dekat kepada khalayak sekarang menerusi gabungan pelbagai kaum dalam pementasan ini.

Dibantu oleh suaminya sendiri sebagai Pengarah Artistik, dia turut menampilkan Omar Ali sebagai Penolong Pengarah, Basil Jayatilaka (Komposer), Mark Beau de Silva & Omar Ali (Adaptasi), Lakshman Balakrishnan (Koreografer), Loh Ui Li & Ariff Akhir (Penyusun & Pengarah Muzik) dan Dominic Lucien Luk (Jurulatih Vokal).

Uda dan Dara (2015) berkisarkan mengenai Uda, seorang pemuda Cina dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur dengan ibunya, seorang ibu tunggal untuk mencapai cita-citanya dalam mengubah nasib mereka.

Uda memadu asmara dengan Dara, anak keluarga Melayu kaya dan berpengaruh, namun jurang darjat yang ketara menjadi pemisah. Uda seorang anak kampung yang dibelenggu kemiskinan tinggal di Kampung Pendatang, nama jolokan Kampung Penchala yang didiami golongan pendatang manakala Dara mendiami kawasan elit Taman Tun Dr Ismail yang letaknya bersebelahan kampung Uda.

Zaiton, ibu kepada Dara tidak senang melihat percintaan dua anak muda ini. Beliau membesarkan Dara dalam kemewahan yang diperoleh melalui pengaruh politik dan status sewaktu suaminya masih hidup.

Bagaimanapun kehidupan mereka semakin terhimpit dengan wang simpanan yang kian susut membuat­kan dia terpaksa bergantung kepada Datuk Bakhil, seorang pemaju tanah.

Alang Bakhil pula anak kepada Datuk Bakhil. Dia sudah lama berhajat untuk merampas dan memiliki Kampung Penchala yang didiami Uda. Dia juga mempunyai matlamat lain dalam hidupnya.

Bagi penonton yang berasal dari kampung, set pentas yang ringkas serta hubungan persahabatan yang digambarkan sudah cukup mengembalikan nostalgia lama yang pernah dilalui suatu ketika dulu.

Begitu juga dengan adegan belajar silat yang diperlihatkan, sudah cukup menjelaskan yang seni membela diri ini begitu penting dan dihargai oleh masyarakat suatu ketika dulu.

Kesimpulannya, pengisian Uda dan Dara kekal dengan isu darjat, kuasa dan kasta, tetapi diperkuatkan lagi dengan adaptasi perbezaan budaya dan bangsa.

Barisan pelakon yang terbabit dengan Uda dan Dara ialah Mark Lim Eu Jin (Uda), Hana Nadira Mohamed Mazlan (Dara), Nur Fardilla Nadia Abu Bakar (Datin Zaiton), Priscilla Wong Suet Yee (Mary), Gani Karim (Utih), Mohd Fairuz Mohd Tauhid (Alang), Adry Azad Alauddin (Datuk Bakhil), Muhammad Al-Fudhail Anwar (Malim) dan Afham Zainal Abidin (Diman).

Pendekatan Faridah memilih barisan muka baru dalam pementasan ini wajar dipuji. Namun lakonan Mark dan Hana disifatkan sederhana dan boleh diperbaiki lagi. Pada beberapa babak penting, penghayatan mereka seperti tidak sampai dan tidak mendalam.

Bagaimanapun, ramai yang tertarik dengan lakonan Gani sebagai Utih. Lontaran suara serta nyanyiannya begitu hebat. Bahkan adakala terlihat karakternya seperti bayangan dramatis Ahmad Yatim.

Ditemui selepas persembahan, Hana Nadira mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada Faridah bagi melakonkan wataknya dengan berkesan.

“Saya cuba ‘Google’ mengenai Uda dan Dara kerana saya pernah dengar mengenai teater ini, malangnya yang dijumpai hanya lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Agak sedih kerana tak banyak rujukan yang ada.

“Dulu masa 2010 pun, saya pergi uji bakat juga untuk pementasan di Istana Budaya, tapi apabila dipanggil untuk terbabit, saya ada hal lain. Tapi Datuk Faridah sendiri adalah ‘Dara’, jadi dia banyak membantu saya menjayakan watak ini.

“Dia tak pernah arahkan saya buat karakter seperti dulu, tapi dia suruh saya cuba bawa cara sendiri. Dara sekarang lebih urban dan ada unsur kontemporari,” katanya.

Mark pula mengakui berminat dengan seni teater dan gembira berlakon dalam naskah ini.

“Saya asalnya main dalam ‘band’, tapi jiwa lebih kepada teater. Saya pernah belajar di Sekolah Kebangsaan jadi saya tahu juga mengenai pantun-pantun dan puisi Melayu.

“Saya ada perasaan gementar apabila mula-mula berada di pentas. Perasaan teruja juga ada untuk pentaskan karya Usman Awang. Saya pernah dengar namanya, tapi tak kenal sangat orangnya. Inilah masa yang sesuai untuk saya mendekati karya tulisannya,” katanya.

Nur Fardilla atau lebih dikenali dengan nama Dia Fadila mengakui seronok dengan pengalaman pertamanya di pentas teater.

“Datuk Faridah banyak bagi semangat untuk saya mencuba. Katanya, saya boleh menyanyi tentu saya boleh berlakon. Dia memang nampak saya sesuai untuk watak ibu Dara.

“Beliau suruh saya buat ‘homework’, tapi bukanlah nak saya buat seperti naskah asal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:19 AM