PESERTA yang terbabit dalam A Night To Remember.
PESERTA yang terbabit dalam A Night To Remember.
Ridzuan Abdul Rahman


MyPenang Creative yang berpusat di Pulau Pinang terus rancak menganjurkan persembahan teater menarik buat penggemar seni teater tanah air.

Pada 11 Februari lalu, bertempat di Ibox Teater, Batu Uban, Pulau Pinang, MyPenang Creative berjaya mementaskan program A Night To Remember.

Jurucakapnya, Ilya Rusadi berkata, program yang berlangsung dua jam itu menampilkan persembahan dari enam pementasan teater pendek berdurasi 10 minit dan dua persembahan jemputan.

"Program ini turut disempurnakan dengan kehadiran Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ini.

"A Night To Remember adalah program cetusan idea inspirasi dari program tahunan di penangpac iaitu A Date With Faridah.

"Ia mengumpulkan penggiat seni dari pelbagai genre tarian teater dan muzik untuk membuat persembahan," katanya.

Menurutnya, selepas penutupan penangpac, A Date With Faridah tidak dapat diteruskan lagi seperti kelaziman.

"Oleh itu, MyPenang Creative di bawah pimpinan saya sebagai pengasas mengambil inisiatif dengan menganjurkan program sebegini.

"Ia bagi membuka peluang kepada penggiat seni Pulau Pinang pelbagai kaum membuat persembahan hasil karya tulen mereka sendiri dengan tema cinta yang berdurasi 10 minit.

"Sebanyak 20 skrip penyertaan sudah dihantar, namun hanya enam skrip terpilih," katanya.

Antaranya ialah skrip Sa Dudok karya Fatimah Manaf arahan Vilmett Thanakody, Skinny Love karya Rachel Yeoh arahan Lucille Dass, You Are Enough hasil karya dan arahan Fariza Ariffin, One Night In Chiang Mai karya dan arahan Daren Ang Kenzen, Re Cover skrip Esther Dominic arahan Maizul Affendy dan The Last Date karya Caitlin Chuah arahan Micheak Junr.

ILYA (dua dari kiri) bersama Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan).
ILYA (dua dari kiri) bersama Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan).

Program ini juga dimeriahkan lagi dengan dua persembahan jemputan iaitu bacaan puisi hari kekasih oleh Zulaikha A Hasan serta teater pendek muzikal bertajuk Love Within yang dipersembahkan kanak kanak dari Royal Star Theatre Academy.

Program ini juga adalah kerjasama dan diberi sokongan oleh Triple I Production dan Penang Youth Development Corporation (PYDC) dan diberi tajaan dan sokongan penuh oleh kerajaan Pulau Pinang dan Muhammad Bakhtiar.

MyPenang Creative adalah organisasi seni yang menjalankan penerbitan seni persembahan di Pulau Pinang yang ditubuhkan pada Ogos 2021 oleh Ilya Rusaidi.

Sejak penubuhan MyPenang Creative, pelbagai program dianjurkan seperti bengkel teater, pementasan teater moden dan teater tradisional dan pelbagai program seni menarik di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 6:13 AM