PERSEMBAHAN mantap pelakon terater muzikal Lantai T Pinkie yang dipentaskan baru-baru ini.
PERSEMBAHAN mantap pelakon terater muzikal Lantai T Pinkie yang dipentaskan baru-baru ini.
Norhayati Nordin

NASKHAH Lantai T Pinkie, bukanlah asing pada penonton negara ini yang meminati teater. Ini kerana, karya indah nukilan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said ini sudah beberapa kali dipentaskan dan tetap menarik perhatian ramai.

Pernah dipentaskan pertama kali di ibu kota pada 1997, ketika itu peneraju watak T Pinkie adalah Puan Sri Tiara Jacquelina yang sekali gus berjaya mengangkat naskah teater ini ke tahap tinggi kerana tarikan penonton.

Seiring masa berlalu, teater muzikal Lantai T Pinkie digarap semula pada tahun 2000 dan menampilkan pula bakat pelakonJuhara Ayob. Ternyata, pembabitan Juhara juga hebat sebagaimana Tiara.

Cuma, pada pementasan di tahun 2006 pula, naskhah ini memaparkan kemantapan bakat aksi lakonan dimiliki dua figura iaitu Vanidah Imran dan Nasha Aziz yang meninggalkan kesan mendalam.

Kini, selepas lebih 15 tahun garapan naskhah Lantai T Pinkie 'berehat' daripada pementasan, ia kembali semula menemui penonton buat kali keenam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 6 hingga 8 Oktober lalu.

Diterbitkan CTRA Production dan Persatuan Teater Malaysia (PTM), Lantai T Pinkie dibarisi pelakon seperti Nasha Aziz, Nabila Huda, Zera Hariz, Linda Nanuwil, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Faysal Saad, Zaifri Husin dan ramai lagi.

NABILA huda melakonkan watak Nyai Sunarti dengan berkesan.
NABILA huda melakonkan watak Nyai Sunarti dengan berkesan.

Peluang menyaksikan pementasan teater ini bagaikan mengimbau semula memori pada 2006 lalu yang mempunyai tarikan tersendiri. Apatah lagi, lakonan mantap antara pelakon yang menjadi kekuatan persembahan teater ini.

Malah, antara paling menarik dan berkesan lakonannya ialah Nabila Huda sebagai watak Nyai Sunarti yang boleh disifatkan 'benar-benar hidup' tatkala berdialog serta ketika celotehnya bergema di atas pentas.

Ditambah ketika babak menampilan Nabila memakai busana Jawa, karekter Nyai Sunarti itu sangat menyerlah, selain ketika dia monolog, menyanyi serta menari yang berjaya menyakinkan bahawa dirinya seorang gadis dari kepulauan yang 'terseksa' dengan kehidupan dilalui.

Selain Nabila, watak T Pinkie yang dilakonkan bakat baharu teater, Zera Hariz juga mantap dan tidak menghampakan penonton kerana boleh dikatakan dia juga berada dalam kelas tersendiri apabila dapat melontarkan dialog dengan cukup baik.

Pengarahnya, Dr Rosminah Mohd Tahir ditemui berkata, dia berpuas hati dengan persembahan teater muzikal Lantai T Pinkie itu untuk tiga hari pementasan, meskipun terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.

"Sebagai pengarah sudah tentu saya tidak boleh terlalu berpuas hati kerana masih ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki lagi terutama dari segi kelancaran teknikal serta mengelakkan beberapa kesalahan kecil daripada pelakon.

ZERA Hariz sebagai T Pinkie masa kini.
ZERA Hariz sebagai T Pinkie masa kini.

"Namun, mungkin juga disebabkan ada rasa gementar sesama pelakon. Tapi, saya gembira kerana setiap pelakon yang terbabit dalam teater ini sudah memberikan komitmen mereka yang cemerlang," katanya.

Menurut Rosminah yang sudah mengarahkan Lantai T Pinkie untuk kali keenam, dia tetap menampilkan perbezaan tersendiri untuk edisi terbaharu itu berikutan peranan pelakon utama pun sudah bertukar seiring perubahan tahun pementasannya.

Katanya, antara perbezaan jelas itu adalah teater muzikal Lantai T Pinkie kali ini membariskan pelakon daripada tiga generasi usia berbeza yang sudah tentu penggiat seni paling lama ada banyak pengalaman seperti Jalaluddin dan Tamimi.

Sehubungan itu, teater muzikal Lantai T Pinkie boleh dikata mampu kekal relevan untuk terus dipentaskan berikutan penerimaan baik penonton yang tidak jemu menyokong setiap pementasan, termasuk 'jenama' karya ini yang kukuh dan begitu dikenali ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 6:21 AM