ANTARA babak dalam teater Yeopyang dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM).
ANTARA babak dalam teater Yeopyang dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM).
BABAK pergaduhan dalam teater ‘Yeop’.
BABAK pergaduhan dalam teater ‘Yeop’.
ROSDEEN (depan tujuh dari kiri) bersama pelakon teater Yeop.
ROSDEEN (depan tujuh dari kiri) bersama pelakon teater Yeop.
Ridzuan Abdul Rahman


Jarang sekali penonton yang hadir menonton persembahan teater turut terbabit sama dalam pementasan yang berlangsung.

Bagaimanapun, kelainan diperlihatkan apabila mereka diberi peluang membincangkan babak seterusnya atau apa sepatutnya berlaku dalam teater Yeop yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya, minggu lalu.

Yeop arahan Dr Rosdeen Suboh dipentaskan bagi memperingati Seniman Negara Kelima, Datuk Syed Alwi Syed Hassan yang meninggal dunia pada 2008.

Tiga karya agung Syed Alwi yang dipentaskan pelajar Jabatan Drama, pensyarah dan dibantu pemuzik Universiti Malaysia adalah Alang Rentak Seribu, Menuju Utara serta Tok Perak.

Keseluruhannya seramai 85 tenaga produksi terbabit dalam pementasan berkonsepkan enam fragmen tiga karya Syed Alwi ini.

Menampilkan latar belakang dan dialek Perak yang juga tempat kelahiran beliau, konsep estetika marxisme iaitu rakyat (penonton) berhak bersuara dan memilih pemimpin (persembahan) diterapkan oleh Rosdeen bagi menyuntik situasi segar ketika pementasan.

Dalam fragmen Alang Rentak Seribu, penonton diberi peluang melontarkan pendapat mengenai babak pergaduhan yang terjadi di antara Pak Halim dan Alang.

Penonton ditanya apakah yang sepatutnya berlaku apabila Pak Mokhtar menghasut Pak Halim supaya menentang Alang kerana marah melihat anaknya, Mazni bersiar-siar dengan Zul, pelakon filem yang menjalani penggambaran di kampung mereka.

Alang bertanggungjawab membawa produksi ini mengadakan penggambaran di situ. Persoalan lain, adakah Mazni turut bersalah kerana menerima pelawaan Zul untuk bersiar-siar?

Peranan penonton diperlukan untuk membuat pengadilan. Karakter Pak Mokhtar, seorang yang suka mengadu domba, Pak Halim yang terlalu mudah termakan hasutan orang dan Zul yang begitu mudah mengajak anak dara kampung keluar bersiar-siar tanpa memahami adat dan norma di kampung sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat kita.

Dalam fragmen Tok Perak pula, penonton ditanya adakah perlu Azizah, seorang ibu tunggal beranak tiga mengahwini Tok Perak yang mencari rezeki sebagai penjual ubat.

Pelbagai pendapat dilontarkan dan ini sedikit sebanyak membantu memeriahkan teater ini berbanding pementasan konvensional apabila penonton hanya diam menonton.

Menariknya teater Yeop ini turut menampilkan konsep majmuk apabila pelakon keturunan Cina dan India juga beraksi.

Selain itu, terdapat seorang pencerita ditampilkan untuk bercerita mengenai profil Syed Alwi dan punca kematiannya yang masih menjadi misteri sehingga kini.

Usaha Jabatan Drama UM untuk memperkenalkan dan memperingati jasa dan karya Syed Alwi dalam perkembangan seni teater dan drama wajar dipuji.

Rosdeen berkata, sebagai pensyarah di UM dia perlu melihat keberkesanan pembelajarannya terhadap pelajar menerusi pementasan ini.

“Setiap pelajar tahun dua Jabatan Drama perlu buat satu produksi teater. Kami memilih sama ada teater tradisional, moden atau kontemporari.

“Kali ini kontemporari jadi pilihan dan saya pilih forum teater untuk mereka belajar. Banyak proses belajar yang mereka lalui walaupun awalnya mereka tak faham.

“Saya perlu perkenalkan kepada mereka kerana konsep ini bukan asing bagi penggiat teater barat. Persembahan seperti ini selalu dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts (KLPac),” katanya yang mahu membuka minda masyarakat Melayu terhadap pendekatan begini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 12:28 PM