SEAN Ghazi. FOTO Aziah Azmee
SEAN Ghazi. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Sean Ghazi, 53, berharap penonton lebih terbuka dengan watak homoseksual lakonannya dalam filem Split Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… yang bakal ditayangkan di pawagam pada 9 Jun ini.

Sean atau nama sebenarnya Sean William Ghazi berkata, sebagai pelakon dia perlu menghormati tuntutan watak dalam karya tulisan Allahyarham Jit Murad itu.

"Sebagai pelakon, saya perlu menghormati karya itu dan apa juga karakter yang terpilih untuk saya mainkan, saya kena lunaskan. Itu kerja saya.

"Apabila saya menonton semula filem itu, ia berkisar keluarga moden di Malaysia. Sama ada suka atau tidak, dalam keluarga moden, bukan semua ada cara pemikiran atau pilihan hidup yang sama.

"Saya harap orang akan menontonnya dengan minda terbuka. Saya juga sedia jika terima komen kasar tapi harapnya bukan yang memudaratkan," katanya.

Sean juga akui sebak apabila mengenangkan Jit yang menjadi tulang belakang kepada filem adaptasi daripada pementasan teater terbabit.

"Arwah adalah sahabat karib saya. Saya cuma harap dia juga ada di sini untuk menontonnya dan berasa bangga," katanya.

Jit atau nama sebenarnya Aziz Mirzan Murad meninggal dunia pada usia 62 tahun, Februari lalu. Pemergian pengarah, penulis, dan pengamal teater itu satu kehilangan besar untuk industri.

Selain Sean, filem Split Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… arahan Datuk Zahim Albakri turut membariskan pelakon seperti Nanu Baharudin, Ida Nerina, Melissa Saila, Sabrina Hassan, Diana Danielle dan Junji Delfino.

Tidak ketinggalan, Joelah Charles, Carliff Carleel, Bernie Chan, Doppo, Dara Raziana Othman, Nam Ron, Amerul Affendi, Imri Nasution, Nuramerra Aqma, Elaine Pedley Lee Swee Keong dan Hairi Safwan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 11:37 AM