V Shem (kanan) dan Wee Kiong tewas di tangan beregu China.
V Shem (kanan) dan Wee Kiong tewas di tangan beregu China.

Kuala Lumpur: Putus tali raket lima kali mengganggu rentak permainan gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tumpas di pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 semalam.

Wakil tunggal beregu lelaki di pusingan pertama itu tersungkur di tangan naib juara Terbuka Malaysia tahun lalu dari China, Chai Biao-Hong Wei 18-21, 21-15, 14-21 dalam perlawanan sejam di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

“Kurang bernasib baik apabila pada set pertama tali raket saya putus empat kali dan sedikit sebanyak mengganggu kami memungut mata. Apapun, kami sudah cuba yang terbaik,” kata V Shem dalam sidang media selepas perlawanan tamat.

Jelasnya, ketika set penentuan lawan berjaya menukar strategi dengan cepat dan memberi fokus di bahagian depan sedangkan mereka gagal mendapat rentak serta lambat mengejar mata.

Bagi Wee Kiong, aksi mereka tidak terlalu teruk kerana sudah memberi yang terbaik tetapi tetap tumpas kepada pasangan China itu.

“Mungkin bahagian kawalan gelanggang kami sedikit longgar, sukar untuk mengejar mata ketika ketinggalan. Saya juga tidak fikir mengenai tekanan kerana fokus dengan permainan saya sendiri.

“Cuma kami kurang bernasib baik walaupun cuba melakukan serangan,” kata Wee Kiong yang juga mengalami nasib sama apabila tali raketnya juga putus pada set pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 7:58 AM