V SHEM (kiri) dan Wee Kiong menewaskan beregu China.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong menewaskan beregu China.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua wakil negara dalam acara beregu lelaki dan campuran meneruskan rentak cemerlang mara ke separuh akhir Terbuka Korea, semalam.

Berlangsung di Stadium Tertutup Seong-nam, pasangan beregu lelaki nombor satu negara yang juga pilihan kelima kejohanan Goh V Shem-Tan Wee Kiong melakarkan kejutan menewaskan pilihan kedua dari China Chai Biao-Hong Wei 21-18 21-13 dalam tempoh 32 minit.

Skrip berbeza terpaksa ditempuh beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terpaksa beraksi sejam sebelum menang 21-14, 14-21, 21-19 ke atas pasangan Denmark Anders Skaarup Rasmussen-Sara Thygesen dalam pertarungan tiga set.

Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun bakal berdepan laluan getir hari ini apabila turun bertemu pasangan tuan rumah yang juga pilihan pertama kejohanan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na yang menundukkan pasangan Denmark Kim Astrup- Line Kjaersfeldt 21-15, 21-17 di suku akhir semalam.

Andai menang ke atas pasangan Korea itu, ia bermakna Peng Soon Liu Ying berjaya membalas kekalahan ketika tewas di separuh akhir Terbuka Jepun minggu lalu.

“Kami bertuah kerana menang hari ini (semalam) kerana saya tidak berada dalam keadaan terbaik dan berasa seperti hendak demam.

“Saya perlu berehat secukupnya agar esok kesihatan kembali pulih dan dapat beraksi pada tahap terbaik,” katanya yang berjaya menepati sasaran oleh jurulatih Chin Eei Hui.

Sementara itu beregu lelaki negara V Shem-Wee Kiong berharap dapat mengekalkan rentak konsisten apabila berdepan pilihan ketujuh kejohanan dari China Li Junhui-Liu Yuchen yang menundukkan pilihan ketiga dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 21-16 di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 7:02 AM