Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan muncul naib juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland 2015 bakal menjadi pembakar semangat buat Goh V Shem untuk mempertahankan kejuaraan Siri Super Premier Terbuka Malaysia.

Pemain beregu lelaki negara itu berkata, dia sebolehnya mahu mempertahankan kejuaraan itu walaupun kali ini bergandingan dengan Tan Wee Kiong.

“Kalau boleh sudah tentu saya mahu jadi juara lagi, walaupun kali ini bukan dengan Lim Khim Wah tetapi Wee Kiong,” katanya yang baru tiba dari Basel semalam.

Tahun lalu V Shem berjaya merangkul gelaran berkenaan apabila bermula cemerlang di pusingan pertama dengan menyingkirkan pilihan kedua dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

“Undian kali ini juga sukar sama seperti tahun lalu apabila di pusingan pertama lagi kami akan bertemu pasangan China (pilihan keenam), Chai Biao-Hong Wei.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung pada nasib,” katanya yang masih lagi dibelenggu kecederaan lutut kiri.

Chai Biao-Hong Wei adalah lawan yang ditumpaskan V Shem-Khim Wah dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia tahun lalu dengan kemenangan straight set 21-19, 21-18.

Menceritakan kembali detik meraih naib juara Terbuka Switzerland, V Shem mengakui dia berasa bangga dengan pencapaian berkenaan walaupun di awal saingan berasa sedikit gusar berikutan kecederaan yang dialami.

“Saya puas hati dapat meraih gelaran naib juara. Ia sesuatu yang bagus buat kami menghadapi kejohanan seterusnya. Kecederaan lutut kiri saya masih belum pulih sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya harap ia cepat sembuh walaupun kurang berasa sakit ketika di dalam gelanggang kerana saya memakai pelindung lutut,” katanya.

V Shem mengakui selepas mara ke separuh akhir dia melupakan kecederaan berkenaan sebelum tumpas 19-21, 21-14, 17-21 kepada pasangan China (pilihan ketiga) Cai Yun-Lu Kai.

Ditanya apakah kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Terbuka Malaysia (31 Mac-5 April), V shem berkata, memantapkan kekuatan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:29 AM