KHE Wei (kanan), Vivian meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia.
KHE Wei (kanan), Vivian meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei meneruskan kecemerlangan di Terbuka Indonesia apabila sekali lagi menjadikan wakil tuan rumah, Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut sebagai mangsa untuk memenangi aksi suku akhir semalam.

Kemaraan mereka membuatkan Datuk Lee Chong Wei tidak keseorangan pada saingan separuh akhir hari ini selepas pencabarnya Wang Zhengming terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring ketika pemain negara itu mendahului 21-16, 9-2.

Bagaimanapun, Istora Gelora Bung Karno senyap selepas Vivian-Khe Wei menunjukkan jalan keluar buat Anggia Shitta-Mahadewi Istirani dengan kemenangan straight set 21-14, 21-19.

Menurut Vivian, dia sangat gembira dan bertuah apabila kali pertama mara ke separuh akhir kejohanan yang bertaraf Siri Super Perdana, termasuk menumpaskan wakil tuan rumah dua kali berturut-turut.

“Kami bermain sangat baik hari ini (semalam) terutama set pertama. Pada set kedua, kami berasa sedikit gementar terutama selepas mereka mula mengejar,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya, antara sebab utama mereka dapat menangani serangan psikologi penyokong lawan adalah dengan sentiasa fokus di gelanggang sehingga tamat permainan.

“Aksi separuh akhir esok (hari ini) bukan mudah tapi kami hanya perlu fokus sekurang-kurangnya memberikan tentangan sengit,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Vivian-Khe Wei akan berdepan halangan sukar hari ini apabila bertemu pilihan ketiga dari China Tang Yuanting-Yu Yang, yang sebelum itu menumpaskan pasangan Korea Selatan, Chang Ye Na-Lee So Hee 21-17, 21-17.

Chong Wei yang dalam usaha memburu kejuaraan keenam Terbuka Indonesia pula akan berdepan pemain tuan rumah, Ihsan Maulana Mustofa yang menumpaskan Rajiv Ouseph (England) 17-21, 21-12, 21-12.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir apabila tumpas kepada Chai Biao-Hong Wei dari China 18-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:11 AM