WEE Kiong (kanan)  tumpu kekal prestasi bersama V Shem.
WEE Kiong (kanan) tumpu kekal prestasi bersama V Shem.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bergandingan dengan penyandang juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia, Goh V Shem bukan tiket untuk Tan Wee Kiong berasa selesa menjelang kejohanan berkenaan yang akan bermula minggu depan.

Pemain beregu lelaki negara itu berkata, dia langsung tidak memikirkan mampu meraih kejayaan dengan mudah kerana berpasangan dengan V Shem.

“Saya tidak fikir mengenai V Shem pernah muncul juara kejohanan ini tahun lalu. Perkara yang lepas tidak sama, gandingan sudah tidak sama dan kami perlu bermula dari kosong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

V Shem muncul juara tahun lalu ketika bergandingan bersama Lim Khim Wah, apabila menumpaskan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-19, 21-18 pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil.

“Siri Super memang selalunya sukar, begitu juga di Terbuka Malaysia kali ini berdasarkan undian yang dikeluarkan. Bagaimanapun, kami harus bersedia dari semua aspek.

“Kami mahu mendapat sokongan padu dari semua pihak. Kalau boleh saya tidak mahu berdepan situasi sukar seperti penyokong sendiri tidak memberi sokongan selepas gagal memberi persembahan terbaik,” katanya.

Wee Kiong mengharapkan keputusan dan permulaan bagus menjelang pertemuan dengan Chai Biao-Hong Wei (pilihan keenam) di pusingan pertama nanti.

“Walaupun V Shem pernah menumpaskan mereka di perlawanan akhir tahun lalu, ini kali pertama sejak kami digandingkan bersama.

“Kami berharap dapat beraksi dengan gaya kami sendiri walaupun belum pasti mampu mencatatkan kemenangan,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, mereka kurang bermaya di Seluruh England bulan lalu tetapi bangkit semula di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland dengan muncul naib juara.

“Ketika di Terbuka Switzerland, kami agak lewat mendapat rentak dan corak permainan sebenar, ia mula berubah di separuh akhir.

“Saya harap perkara ini dapat dikekalkan sehingga Terbuka Malaysia walaupun sebelum ini berdepan masalah kurang berlatih dan V Shem belum cergas sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu pasangan beregu campuran Tan Aik Quan-Lai Pei Jing bijak menggunakan peluang terhidang untuk menumbangkan gandingan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Vanessa Neo di pusingan pertama Siri Super Terbuka India 2015 semalam.

Status pasangan lawan selaku pilihan keenam tidak menimbulkan gerun buat Aik Quan-Pei Jing yang berjaya mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-17. Menanti mereka di pusingan kedua ialah wakil Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja yang sebelum itu mengalahkan pasangan India, Varum Sharma-Rachita Sahdev 21-10, 21-13.

Nasib berbeza buat satu lagi pasangan beregu campuran negara, Waong Fai Yin- Chow Mei Kuan yang tumpas kepada gandingan Jepun, Kenichi Hayakawa-Misaki Matsutomo 21-14, 20-22, 17-21.

Mei Kuan yang turut beraksi dalam beregu wanita bergandingan bersama Chin Kah Mun mengalami nasib sama apabila kalah kepada pasangan Taiwan, Ching Hsu Ya-Po Pai Yu 15-21, 21-23.

Bagaimanapun, pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelapan, beraksi cemerlang menumpaskan pasangan Indonesia, Gebby Ristiyani Imawan-Tiara Rosalia Nuraidah 21-15, 21-19.

Vivian-Khe Wei akan menentang pasangan Hong Kong, Kaka Tsz Ka Chan-Tse Ying Suet yang menewaskan beregu India, J Meghana-K Maneesha 21-11, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:12 AM