V SHEM (kiri) dan Wee Kiong mudah benam beregu tuan rumah.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong mudah benam beregu tuan rumah.

Kuala Lumpur: Selepas Datuk Lee Chong Wei kalah mengejut dan tersingkir pada Siri Super Terbuka Korea Selatan kelmarin, hanya dua pasangan beregu lelaki saja masih meneruskan cabaran dan layak ke pusingan kedua hari ini.

Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah menyingkirkan pasangan tuan rumah, Chan Jun Bong-Kim Dae Eun pada pusingan pertama semalam selepas menang straight set 21-15, 21-13.

Menanti mereka pada pusingan kedua hari ini gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang sebelum itu menundukkan beregu Thailand, Puavaranukroh Dechapol-Kendren Kittinupong 21-13, 21-16.

Menurut V Shem, perlawanan semalam tidak terlalu sukar buat mereka namun hari ini sudah pasti getir kerana akan bertemu pilihan kedua kejohanan.

“Kami akan mempersiapkan diri sebaik mungkin, tambahan pula tiupan angin amat kuat dalam gelanggang. Jadi kami perlu bijak mengawal permainan dan melakukan pukulan,” katanya.

Sementara itu, bekas beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga tidak berdepan masalah untuk memenangi pusingan pertama selepas menumpaskan beregu England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-16, 21-10.

Mereka akan bertemu pilihan kelima dari China, Cai Biao-Hong Wei yang berjaya mencatatkan kemenangan ke atas pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 21-15.

“Saya tidak ada komen lanjut mengenai perlawanan ini, cuma kami berjaya mengawal tiupan angin dengan baik sekali,” kata pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 Doha itu.

Hasrat pemain bebas, Zulfadli Zulkiffli untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila kalah 14-21, 8-21 kepada perseorangan Indonesia, Tommy Sugiarto.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:02 AM