RAKAMAN di Lapangan Terbang Sungai Besi pada 1953.
RAKAMAN di Lapangan Terbang Sungai Besi pada 1953.
SUASANA dalam bilik darjah di Ulu Terengganu pada 1952.
SUASANA dalam bilik darjah di Ulu Terengganu pada 1952.
KETIKA lawatan Rida menaiki bot laju di Terengganu pada 1953.
KETIKA lawatan Rida menaiki bot laju di Terengganu pada 1953.
MEWARNAKAN sekeping foto hitam putih mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Foto berwarna Tuanku Ampuan Intan Zaharah bersama Almarhum Sultan Mahmud.
MEWARNAKAN sekeping foto hitam putih mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Foto berwarna Tuanku Ampuan Intan Zaharah bersama Almarhum Sultan Mahmud.
Siti Salmiah A Hamid


Hobi tidak semestinya dalam bidang sukan atau menjadi penyimpan koleksi barangan mahal semata-mata.

Tentu ramai yang tidak percaya apabila sultan terdahulu turut memiliki hobi merakam wajah masyarakat.

Ramai yang tidak menyangka Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III memiliki bakat seni yang tersendiri.

Jika diajukan nama baginda kepada remaja hari ini, pasti ramai tidak mengenali baginda walaupun Sultan Ismail pernah menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Agong (YDPA) ke-4.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1945. Kemudian baginda dilantik sebagai YDPA pada tahun 1965 hingga 1970 ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Hanya segelintir saja tahu baginda dikenali sebagai jurugambar perintis yang berjaya pada zaman itu dengan memulakan minat dalam fotografi pada usia 16 tahun.

Ketika berkunjung ke pameran Merungkai Yang Terhijab (1937-1971) yang kini berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia, penulis berkesempatan menemu bual cucu kepada Sultan Ismail iaitu Raja Mohd Zainol Ihsan Shah.

“Pameran ini buat pertama kalinya mempamerkan negatif filem diambil baru-baru ini dari Arkib Besar Sultan Ismail yang saya warisi.

“Ia adalah imej yang tidak pernah dilihat malah oleh keluarga Almarhum sendiri,” katanya ketika memulakan bicara.

Menurut Raja Ihsan, kebanyakan gambar yang baginda rakam hilang dan kini hanya sebilangan saja gambar yang tinggal serta kebanyakannya masih dalam bentuk negatif atau tidak dicetak.

“Baginda lebih meminati bidang fotografi berbanding sukan dan tidak lepaskan kameranya ke mana saja baginda pergi.

“Malah gemar keluar rumah awal pagi untuk merakamkan pelbagai suasana alam dan gelagat manusia.

“Justeru, baginda akan ke Kuala Ibai, Rusila, Chendering, Kampung Tenggala atau sekitar Pasar Tepoh untuk merakamkan gambar yang diingini,” katanya.

Tidak hairanlah apabila gambar pemandangan pulau dan tepi pantai dilihat sungguh mengujakan meskipun ia dalam warna hitam putih.

Namun rakaman yang menyentuh minat penulis ketika melihat aktiviti golongan nelayan beramai-ramai pulang selepas mencari rezeki di laut. Sebahagian lagi dilihat sedang membetulkan pukat di tepi laut dalam keadaan cuaca panas namun dibayangi pokok kelapa.

Boleh dikatakan, Almarhum Sultan Ismail antara perintis kepada dunia seni fotografi di Tanah Melayu dan Malaya (kini Malaysia) kerana baginda antara orang pertama yang mula merakam gambar sejak tahun 1923 hingga 1971.

“Baginda sering melakukan ekperimental fotografi. Keadaan itu sama seperti dilakukan orang Eropah yang ketika itu sangat bangga dengan peralatan kamera dan aksesori daripada jenama tertentu, malah mereka mengakui antara pelopor dalam fotografi.

“Hasil ekperimental dan mainan rakaman kamera baginda membolehkan kita menghayati dan menghargai seni fotografi yang dilihat hari ini.

“Beralih pada tahun 1948 hingga 1952, baginda suka mewarna. Baginda akan mewarnakan gambar hitam putih rakamannya menggunakan set warna jenama Marshall’s tapi hanya potret keluarga saja.

“Justeru, secara teknikalnya baginda antara perintis kepada foto berwarna di Tanah Melayu dan Malaya kerana mampu menghasilkan foto berwarna yang asli,” katanya.

Baginda turut menyimpan gambar dalam bentuk ‘slaid.’ Antara koleksi ‘slaid’ berkenaan adalah ketika lawatan baginda ke Iran, Korea Selatan, Geneva, Switzerland dan Jerman. Malah, kelihatan Raja Ihsan yang ketika itu masih kanak-kanak berjalan beriringan dengan datuknya pada ‘slaid’ di Bombay, India.

Baginda turun ke Kuala Lumpur selepas berlakunya rusuhan pada Mei 1969 yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 100 orang.

Keesokan harinya, baginda pergi ke pusat bandar dan merakamkan suasana bandar yang sangat sunyi selepas pelbagai kejadian amuk hingga mengorbankan nyawa.

Keadaan kawasan berkenaan umpama dilanggar garuda selepas kerajaan mengeluarkan perintah berkurung dan hasilnya jelas menyentuh hati dalam foto yang dirakam baginda.

“Tiada siapa yang tahu mengapa baginda memilih hobi ini kerana ia satu hobi yang agak mahal ketika zaman itu. Sama ada ingin mendokumentasikannya sebagai sejarah, keluarga, masyarakat hanya baginda saja yang tahu.

“Pada 1950-an baginda dilantik sebagai penaung oleh Photographic Society of Malaya (kini Malaysia) kerana reputasi baginda yang sangat dikenali dalam bidang ini.

“Malah baginda terus aktif dalam bidang berkenaan hinggalah selepas tamat berkhidmat sebagai YDPA,” katanya.

PROFIL:

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III Muazzam Shah

Yang di-Pertuan Agong: Ke-4

Raja Permaisuri Agong: Tunku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja

Negeri: Terengganu

Keputeraan: 24 Januari 1907 di Kuala Terengganu, Terengganu

Kemangkatan: 20 September 1979 (umur 72 tahun) di Istana Badariah, Kuala Terengganu, Terengganu

Mula jawatan: 21 September 1965

Tamat jawatan: 20 September 1970

Penyandang terdahulu: Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail

Penyandang kemudian: Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah

Pemerintahan Terengganu: 16 Disember 1945-20 September 1979

Kemasyhuran: 6 Jun 1949

Penyandang terdahulu: Sultan Ali Shah

Penyandang kemudian: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 6:33 AM