KHAIRUL AMRI.
KHAIRUL AMRI.
DIKERUMUNI kanak-kanak ketika merakam gambar
DIKERUMUNI kanak-kanak ketika merakam gambar
GHAIRAH merakam hasil  terbaik untuk Cycling Asia.
GHAIRAH merakam hasil terbaik untuk Cycling Asia.
ANTARA koleksi gambar kesayangan.
ANTARA koleksi gambar kesayangan.
ANTARA koleksi gambar kesayangan.
ANTARA koleksi gambar kesayangan.
GAMBAR pengantinnya mendapat pujian.
GAMBAR pengantinnya mendapat pujian.
myMetro

Industri fotografi kian berkembang dari hari ke hari. Kehadiran kamera pada harga mampu milik dan kemajuan arus teknologi hari ini membuatkan ramai yang mula menawarkan perkhidmatan fotografi dengan bersandar pengetahuan asas semata-mata.

Bagi yang melihat dari jauh, mungkin kerjaya jurufoto dianggap mudah. Asalkan gambar berkenaan terakam indah pada penglihatan, pastinya melantun pelbagai pujian.

Walhal menjadi jurufoto sebenarnya memerlukan penelitian, kreativiti dan kepakaran melaras kehendak teknikal untuk mendapatkan hasil bermakna.

Untuk itu seorang jurufoto perlulah meneroka ilmu dan menceduk pengalaman seluas-luasnya. Bagi yang benar-benar ghairah dengan hasil dan kreativiti, fotografi menjadi umpama medan juang mencurah segala emosi.

Bagi Khairul Amri Daud, kesungguhan dan kepekaan derianya dalam mengimbang hasil karya memberi kelebihan besar buat diri sehinggakan khidmatnya menjadi buruan individu perseorangan, agensi, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengikut laman Facebooknya di luar negara.

Mempunyai syarikat perkongsian dikenali Petak dan Peti TV, Khairul Amri gembira dengan apa yang dilakukan kini dan sentiasa komited memberikan hasil terbaik demi mengangkat kerjaya jurufoto dan juruvideo tempatan ke peringkat antarabangsa.

Majalah M (M): Kenapa memilih kerjaya sebagai jurugambar dan bagaimana ia bermula?

Khairul Amri (K): Tamat saja pengajian Diploma Multimedia di UniKL dulu, saya nekad untuk tidak menjadi seorang yang tipikal. Walaupun masih tidak mempunyai sasaran tertentu dalam hidup, saya sentiasa positif mencuba dan meneroka perkara baru.

Sejak kecil, saya sangat sukakan aktiviti melancong. Ketika itu langsung tidak terlintas cita-cita untuk menjadi jurugambar profesional kerana harga kamera terlalu mahal untuk dimiliki. Tambahan keluarga bukanlah orang senang. Namun apabila sampai ke peringkat sekolah menengah, buku ensiklopedia di perpustakaan mula menjadi hiburan baru.

Jadi, selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai kerani kemasukan data dan membeli kamera pertama iaitu NIKON D40. Memandangkan tiada guru dan tidak pandai mencari kaedah pembelajaran bersesuaian, saya menghabiskan masa setiap hari meneroka kamera.

Tidak kira dari segi penggunaan, sudut gambar, pencahayaan, teknik, gaya dan sebagainya, semua saya teroka sendiri. Dalam hati mula menyimpan angan-angan untuk menjadi jurugambar sukan, tetapi diberitahu tidak boleh memilih tugas jika berada dalam arus media. Pada masa sama, saya mula dipelawa rakan untuk merakam gambar perkahwinan.

Cuma apa yang mengganggu ketika itu, saya berasakan bahawa mengambil gambar orang kahwin itu tidak mencabar. Sehinggalah saya benar-benar jatuh cinta dengan ‘emosi’ dalam majlis menyatupadukan dua keluarga berkenaan.

M: Apakah cabaran yang dilalui sepanjang membina karier?

K: Terlalu banyak cabaran, terutama membabitkan diri sendiri. Apabila memutuskan untuk berada dalam bidang fotografi, saya tidak pernah berhenti mencari gaya tersendiri. Sekalipun banyak hasil karya dan jurugambar handalan yang boleh dijadikan rujukan, saya mahu jadi lebih bagus daripada mereka.

Pada saya, tidak boleh mengikut rujukan kerana itulah yang menjadikan kita sentiasa berada di belakang orang yang hebat. Ilmu ini juga tidak boleh dituntut melainkan jurugambar itu sendiri perlu memahami gaya dan kehendak berikutan terlalu subjektif.

Tidak ada guru yang boleh mengajar ilmu fotografi dengan tepat sebaliknya pengalaman menjadi guru terbaik. Sebab itu kita perlu tahu apa yang kita buat dan beranikan diri keluar daripada kebiasaan.

Dari segi kerja, merakam gambar perkahwinan juga mempunyai cabaran yang tersendiri. Begitupun, paling mencabar adalah merakam detik berbasikal sepanjang berlangsungnya Le Tour De Langkawi (LTDL). Tidak kira hujan atau panas, saya perlu sentiasa bersedia mendapatkan hasil terbaik di samping mengekalkan keselamatan diri.

Kadang-kadang, apabila berdepan tuntutan kerja sebegini, memang akan terlintas pandangan bahawa bayaran yang diterima tidak berbaloi. Namun saya sentiasa meletakkan soal duit di tempat kedua kerana keghairahan untuk mendapatkan hasil terbaik menjadi keutamaan.

M: Apakah kelebihan bekerja sebagai jurugambar profesional?

K: Bebas. Saya bebas dari segi masa dan tidak terikat dengan majikan. Paling penting, saya sentiasa bebas untuk berkarya mengikut kreativiti, bereksperimen dengan kehendak sendiri. Kalau ada tugasan di luar negara, saya anggap itu sebagai bonus. Selain perbelanjaan ditanggung sepenuhnya, saya dapat meneroka negara orang, melihat gaya hidup masyarakat luar negara, meneliti norma kehidupan manusia lain serta memenuhi minat mengembara.

M: Sejauh mana karier sebagai jurufoto memberi kepuasan pada diri?

K: Saya puas melakukan apa yang saya minat. Malah sekarang saya juga semakin sibuk merakam video dan melakukan penggambaran untuk menambah pengalaman dalam bidang ini. Di Malaysia, ramai orang tidak faham dengan apa yang kita cuba sampaikan dengan video pendek.

Sebenarnya, video adalah medium terbaik untuk menyampaikan mesej mudah. Saya puas apabila dapat menyampaikan emosi menerusi gambar dan video. Sekalipun tidak membabitkan projek besar, tapi kepuasan itu akan datang apabila mesej yang cuba disampaikan, difahami penonton.

M: Di mana lokasi penggambaran paling jauh sepanjang karier anda?

K: Jujurnya, saya tidak pernah mementingkan sejauh mana penggambaran itu dibuat. Apa yang pasti, apabila dibawa mengembara, saya dapat membuka mata seluas-luasnya dan menjadikan pengalaman itu sebagai panduan untuk kerjaya serta hidup.

Umpamanya, ketika merakam gambar perkahwinan di Eropah, saya mencuri peluang melihat kehidupan harian masyarakat di sana. Saya cerminkan diri, membandingkan bagaimana kita hidup di Malaysia dan budaya mereka. Apabila tiba waktu bersedih, saya akan imbau kembali momen indah ketika merakam gambar di Indonesia. Ternyata pengalaman banyak memotivasikan hidup saya.

M: Apa pencapaian yang diraih setakat ini?

K: Pencapaian peribadi saya adalah menerusi video pendek bertajuk Husin. Video ini lebih kepada iklan hari raya. Ia menceritakan kesedihan ditanggung pekerja asing Pakistan bernama Husin yang terpaksa berjauhan dengan keluarga pada Aidilfitri demi mencari wang untuk kesenangan isteri dan anak. Video yang dirakam di Kuala Sepetang ini tular di media sosial sehinggakan mendapat kritikan serta pujian menggunung daripada penggiat seni filem dan teater tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:03 AM