KETIKA mengikuti misi kemanusiaan di Lubnan baru-baru ini.
KETIKA mengikuti misi kemanusiaan di Lubnan baru-baru ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA anda gemar melayari gambar pemandangan dan seni bina menarik di laman sosial, pasti karya milik Acacia Diana sudah tidak asing lagi untuk diperkenalkan.

Biarpun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang fotografi tetapi karya yang dihasilkan gadis ini mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.

Namun, tidak ramai mengetahui bahawa gadis berusia 28 tahun ini bukan sebarangan kerana dia adalah graduan Sarjana Seni Bina University Greenwich, London.

Sebelum itu, Acacia mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi program ‘Fast Track’ sejurus selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Acacia atau nama sebenarnya Acacia Mardiana Daud dilahirkan di Sheffield, England namun dibesarkan di Manchester sehingga usia 12 tahun sebelum pulang ke tanah air.

Menyingkap mengenai minat terhadap seni bina, Acacia berkata, bidang itu bukan asing lagi bagi dirinya kerana ibunya juga bekas pensyarah kanan Fakulti Seni Bina di universiti berkenaan.

“Sejak kecil saya didedahkan dengan dunia seni bina dan lakaran kerana banyak masa dihabiskan di studio mama. Jadi bidang seni bina menjadi pilihan dan ia turut mendapat sokongan penuh keluarga,” katanya.

Menurut Acacia, peluang melanjutkan pelajaran selama tiga tahun di ‘kampung halamannya’ London turut membuka jalan kepadanya untuk mengembara di puluhan negara dan merakam kenangan di tempat yang belum pernah dijejaki.

Sehingga kini, 42 negara yang dilawati Acacia dengan Iceland dan Palestin menduduki tangga teratas negara kegemarannya.

“Saya menyukai Iceland kerana landskap negara itu cukup memukau pandangan manakala Palestin adalah perjalanan ‘spiritual’ yang cukup mendamaikan.

“Peluang menjejaki Palestin ketika bekerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan benar-benar mengujakan kerana saya berpeluang menziarahi Masjid al-Aqsa selain menunaikan solat di sana.

“Apapun, sama ada bekerja atau mengembara, melawat negara asing sememangnya bukan sahaja dapat membuka minda malah menjadikan seseorang itu lebih berdikari, merendah diri dan bersyukur dengan apa yang dimiliki,” katanya.

BERSAMA Cannon Youth Ambassador lain.
BERSAMA Cannon Youth Ambassador lain.

Acacia mengakui sebelum ini dia gemar melancong untuk suka-suka tetapi kini, setiap pengembaraannya dipenuhi dengan tujuan tertentu sama ada untuk fotografi seni bina, promosi sektor pelancongan mahu pun program kemanusiaan.

Kata Acacia, dia juga turut berkongsi keindahan mengenai sesuatu tempat yang dikunjungi dengan lakaran menarik serta tanda pagar #karyacacia di setiap gambar yang dimuat naik di laman sosialnya.

Usaha suka-suka itu nyata memberi impak positif apabila ramai pengikutnya turut berkongsi lokasi menarik yang mereka kunjungi.

“Saya gembira ia membawa kesan positif. Gambar sesuatu tempat yang dikongsikan dengan umum turut menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk turut berkunjung ke negara terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, meskipun baru dua tahun menceburi bidang fotografi secara serius gadis ini sudah memiliki portfolio yang menakjubkan.

Dia pernah bekerjasama dengan Turkish Tourism, Starbucks United Kingdom, Sudio, Sabah Tourism, Persatuan Cinta Syria Malaysia, Mimpi Kita dan banyak lagi.

Selain itu, hasil kreativiti Acacia juga pernah dipamerkan di Galeri Petronas sempena Festival Seni Bina Kuala Lumpur tahun lalu serta diterbitkan dalam pelbagai penerbitan tempatan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga adalah salah seorang daripada Cannon Youth Ambassador sejak 2018.

Menurut Acacia, jurugambar terkenal, Richard Bernabe menjadi idolanya dalam bidang fotografi selain turut mengagumi kreativiti jurugambar tempatan, Yaman Ibrahim.

“Saya mempunyai impian yang tinggi iaitu mempamerkan karya fotografi di New York, Amerika Syarikat selain itu, mahu karya diterbitkan di majalah dokumentari terkemuka dunia, National Geographic.

“Ia menjadi impian setiap pencinta fotografi di seluruh dunia, justeru saya perlu mendalami ilmu fotografi dengan sebaik mungkin kerana bidang ini semakin moden dan berkembang,” katanya.

Sementara itu, Acacia turut berjinak-jinak dalam bidang kemanusiaan dan turut mengikuti misi musim sejuk membantu pelarian Syria di Lubnan dan Turki anjuran Persatuan Cinta Syria Malaysia, baru-baru ini.

“Mendekati kanak-kanak dan wanita Syria yang menjadi pelarian benar-benar menginsafkan, mereka begitu menghargai setiap barangan yang disumbangkan.

“Kedaifan hidup dan kesengsaraan yang mereka alami akibat perang membuka mata bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dan menjaga sebaiknya keharmonian yang dinikmati sejak dahulu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:00 AM