Berat dan leceh buatkan anak muda memilih telefon berkamera menggantikan kamera poket gaya lama.

Makin hari, makin ramai yang mahukan kehidupan serba ringkas. SHUHADA MANSOR faham kenapa kamera jenis DLSR dan poket kian dilupakan anak muda.

Meningkatnya populariti telefon pintar dilengkapi kualiti kamera megapixel tinggi secara tak langsung menjadikan kamera poket kurang diminati masa kini. Mungkin trend kamera poket masih ada dalam kalangan masyarakat, namun bagi remaja boleh dilihat kurang berminat dengan gajet ini. Kenapa?

Penulis berpendapat, mungkin isu seperti berat, sukar disimpan di dalam poket dan terpaksa menjaga dua kamera dalam satu masa membuatkan kita lebih memilih telefon pintar dilengkapi kamera sebagai pilihan utama.

52 Juta unit tak terjual

Satu kajian berkaitan budaya ini dijalankan sebuah badan berkaitan di Indonesia dan dilaporkan dalam majalah tempatannya, Kompas. Untuk lima bulan pertama pada 2013, angka penggunaan kamera jenis DLSR menurun sebanyak 42 peratus secara global. Bukan itu saja, kamera poket mengalami penurunan jualan kerana sambutan kurang menggalakkan.

Menurut laporan itu lagi, penjualan kamera jenis ini jatuh daripada 132 juta unit dijual pada tahun sebelumnya menjadi 80 juta unit. Ini menjelaskan perbezaan 52 juta unit tidak dapat dijual dalam hanya tempoh setahun. Difahamkan, telefon pintar menjadi ‘musuh’ utama isu ini.

Tiada internet sebab utama

Jika dulu, kamera di telefon tidak pernah dianggap sebagai pilihan utama untuk kita mengabadikan kenangan ketika mengembara sama ada luar ataupun dalam negara. Namun kini, dengan terciptanya pelbagai kategori telefon pintar dengan kelebihan kamera dan peningkatan megapixel, remaja lebih ‘mengejar’ gajet ini berbanding kamera saku.

Antara sebab utama adalah kita masih dibelenggu persepsi kamera saku tidak mempunyai jaringan Internet, sekali gus menyukarkan kita untuk memuat naik gambar ke media sosial. Meskipun banyak kamera poket dicipta kini dengan peranti Internet dan WiFi, ia masih tidak dapat mengalahkan kegilaan remaja terhadap telefon pintar.

Lensa tambahan telefon pintar

Sekiranya ada yang menganggap kamera telefon pintar hanya mempunyai satu jenis lensa (asas), ternyata tanggapan anda salah. Ini kerana meskipun kamera telefon tidak boleh memfokus terlalu jauh seperti kamera SLR ataupun kamera poket, ia mempunyai aksesori lensa tambahan.

Sebagai contoh, pengguna Iphone akan membeli aksesori dinamakan Ollo Clip yang menggabungkan tiga jenis lensa berbeza iaitu jenis luas, cembung dan mikro. Dengan wujudnya elemen baru dalam menambah baik teknik fotografi ini, penulis yakin anak muda makin menggilai telefon pintar.

Belum ‘mati’ sepenuhnya

Pakar teknologi berpendapat walaupun kamera poket terpaksa bergelut dengan kewujudan telefon pintar, ia masih mempunyai peminatnya tersendiri. Menariknya, kumpulan terbesar peminat kamera jenis ini masih dalam kalangan anak muda yang kebanyakan mereka mempunyai hobi serius dalam merakam gambar.

Sama ada bekerja dalam bidang fotografi atau mahukan gambar lebih berkualiti, kamera poket atau jenis SLR masih menjadi pilihan. Kebanyakannya digunakan sebagai kamera utama ketika mengembara dan menjadikan telefon pintar sebagai pengganti kamera.

Kualiti pastinya tidak sama antara kedua-dua jenis kamera ini, justeru jika anda ingin membeli untuk kepuasan sendiri, penulis sarankan beli yang terbaik untuk mendapat hasil maksimum.

Antara kamera saku terbaik disenaraikan bagi tahun ini adalah Panasonic Lumix TX40. Ia membolehkan anda membesarkan skrin gambar zum 20 kali ganda menggunakan 24mm keluasan sebenar bagi gambar kumpulan. Selain itu, Canon Powershot SX 7000 HS, Samsung Galaxy Camera 2, Sony CyberShot RX 100 yang sememangnya menjanjikan gambar terbaik melalui perisian masing-masing.

Sebagai inspirasi, anda boleh melihat karya jurugambar terkenal dunia yang menggunakan kamera saku sederhana, namun mempunyai impak luar biasa:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 9:27 AM