REVOLUSI teknologi The Pump ini sebahagian daripada misi kecergasan global Reebok.
REVOLUSI teknologi The Pump ini sebahagian daripada misi kecergasan global Reebok.

Oleh Nor Faizah Mohamed

[email protected]

Tidak kiralah berlari, mengangkat bebanan di gimnasium, aerobik atau senaman berasaskan seni mempertahankan diri, semuanya dapat membantu menggerakkan otot tubuh dan meningkatkan kecergasan diri.

Pada masa sama, pemilihan kasut yang sesuai juga penting bagi memastikan kesan efektif ke atas senaman yang dilakukan.

Berbelanja lebih untuk kasut berkualiti sememangnya dapat membantu me-ngatasi masalah kesakitan atau cedera di kaki di samping memberi pengalaman yang lebih positif ketika bersenam.

Selesa juga menjadi antara aspek utama dan bagi Reebok, ia elemen paling asas dalam setiap rekaannya. Selain itu, inovasi dan ketahanan juga diberi perhatian khusus agar dapat menepati setiap bentuk kaki serta latihan kecergasan yang dilakukannya.

Seperti kasut ZPump Fusion yang dilancarkan secara serentak di seluruh dunia pada 10 Mac lalu, ia me­nyerlahkan impak revolusi dalam teknologi The Pump yang membolehkan si pemakai rasa selesa sepanjang bersenam.

Teknologi The Pump ini mula diperkenalkan pada 24 November 1989. Ia kasut sukan pertama yang mempunyai mekanisme pengembungan dalaman bagi membolehkan pengubah suai kusyen pelapik di bahagian atas dan bawah untuk pemakaian selesa serta melekap di kaki.

Dan kini selepas 25 tahun, teknologi itu berkembang menjadi pilihan atlet dunia, ZPump Fusion hadir memberi definisi baru kepada golongan yang aktif melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

Berbanding dengan kasut sukan tipikal yang mempu­nyai 40 bahagian, ZPump Fusion hanya memerlukan tiga bahagian utama yang membolehkannya mudah dibawa dan digunakan.

“Kebanyakan kasut sukan terutama untuk aktiviti larian dibuat mengikut piawaian kilang yang tidak mengikut bentuk kaki sebenar.

“Setiap bentuk kaki itu unik, justeru ZPump Fusion membantu mengadaptasi keadaan terbabit agar pemakaiannya lebih selesa dan tidak memberi masalah pada kaki.

“ZPump Fusion ini bebas struktur sepenuhnya apabila dikempiskan dan akan berubah mengikut bentuk kaki individu apabila ia disarungkan lalu angin dipam beberapa kali di bahagian tepinya.

“Dengan cara itu, ia seakan-akan ‘mengunci’ kasut dengan keadaan bentuk kaki si pemakai, sekali gus memberikan keselesaan dan membantu mendapatkan hasil maksimum ketika bersenam.

“Untuk mendapatkan kesan selesa itu, si pemakai cuma perlu menekan pam sebanyak tiga atau empat kali - juga lebih daripada itu - berdasarkan keperluan kakinya,” jelas pereka asal The Pump merangkap Ketua Bahagian Konsep Lanjutan Reebok Paul Litchfield.

Revolusi teknologi The Pump menerusi pe­ngenalan kasut ZPump Fusion ini adalah sebahagian daripada misi kecergasan global jenama berasal dari England itu yang mahu mengubah persepsi dan pe­ngalaman kecergasan masyarakat.

Kempen Be More Human turut dilancarkan yang memberi pandangan unik mengenai kemampuan setiap individu.

“Reebok percaya bahawa dengan mencabar diri melakukan sesuatu di luar kemampuan, ia akan membuatkan kita menjadi pasangan, ketua, ibu bapa, rakan dan manusia yang lebih baik.

“Seperti ZPump Fusion ini, ia bukan sekadar memberi kesan ‘kunci’ kepada kaki malah membantu ‘mengunci’ diri untuk fokus dalam senaman agar kita dapat menguji tahap diri yang sebelum ini mungkin dirasakan mustahil,” ujar Presiden Reebok, Matt O’Toole.

Dengan pilihan warna menarik, fasa pertama ZPump Fusion sudah berada di pasaran tempatan. Beberapa rekaan dan kolaborasi baru akan diperkenalkan menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 3:03 PM