ANTARA peserta yang menyertai ONE LIVE di Australia, baru-baru ini.
ANTARA peserta yang menyertai ONE LIVE di Australia, baru-baru ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Kecergasan boleh dianggap seperti belajar bahasa baru. Pertama, kita perlu memahami asas­nya dan seterusnya membiasakan diri dengan peraturan yang ada.

Paling utama komited sepanjang proses terbabit sama seperti kita komited untuk belajar dengan baik agar dapat berkomunikasi dengan bahasa baru itu.

Apa jua bentuk senaman dan aktiviti kecergasan yang dilakukan, ia memberi kesan kepada kesihatan serta kesejahteraan tubuh.

Tidak kiralah berlari, mengangkat bebanan di gimnasium, aerobik atau senaman berasaskan seni mempertahankan diri, semuanya dapat membantu menggerakkan otot tubuh dan meningkatkan kecergasan diri.

Namun, setiap keperluan individu itu berbeza. Ramai yang gemar bersenam secara berkumpulan atas faktor motivasi dan tidak kurang pula perlu menyertakan muzik untuk membangkitkan semangat.

Andai itu yang menjadi antara kriteria untuk memulakan senaman, festival senaman seharian anjuran Reebok dan Les Mills pada hujung November ini pasti menarik perhatian.

Reebok dan Les Mills mencipta beberapa siri festival seharian yang bakal menyaksikan lebih 6,000 peserta bersenam diiringi rentak muzik dan pencahayaan terkini di lokasi ikonik seluruh dunia, dari Grand Palais di Paris sehinggalah Ziggo Dome di Amsterdam.

Jelajah ONE LIVE Reebok Les Mills ini bermula di Glasgow, Scotland pada 14 Mac lalu dan semenjak itu singgah di Toronto, Chicago, Berlin, Shanghai, Melbourne, Paris, Barcelona, dan London.

Pada 21 November depan, StarXpo Centre di KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur akan menyertai senarai lokasi global ini.

Les Mills International Limited mencipta 13 program kecergasan berkumpulan dan latihan berpasukan global termasuk BodyPump (bebanan), BodyCombat (seni mempertahankan diri), RPM (berbasikal tertutup) dan yang terkini Siri Les Mills Grit (latihan intensiti tinggi 30 minit).

Setiap minggu, jutaan peserta membina kecergasan mereka di kelas Les Mills yang berlangsung di 80 negara membabitkan lebih 16,000 kelab berlesen di seluruh dunia.

Kajian bebas mendapati mereka yang menghadiri kelas Les Mills akan berkunjung ke kelab mereka sekurang-kurangnya dua kali seminggu berbanding yang lain dan 94 peratus berkemungkinan memperkenalkannya kepada seorang rakan.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Les Mills Asia Pasifik Matt Spandow, me­nyifatkan acara ONE LIVE platform yang mencipta peluang untuk orang ramai mendapat manfaat kesihatan menerusi acara kecergasan berkumpulan dalam persekitaran yang mengujakan dan penuh inspirasi.

Gabungan bunyi, pencahayaan dan jurulatih pakar Les Mills juga bakal menghasilkan pengalaman kecergasan menyeronokkan yang tidak pernah dirasai peserta sebelum ini.

“Dengan sistem bu­nyi dan pencahayaan terbaik, kami ingin memper­tingkat­kan lagi senaman berkum­pulan ini dengan meningkat­kan tahap motivasi peserta untuk bersenam secara serentak.

“Menyaksikan ribuan peserta bersenam secara seragam pastinya memberikan pengalaman berharga dan mengagumkan. Suasananya juga amat mengujakan,” katanya.

Tambah Spandow, matlamat Les Mills adalah mewujudkan planet yang lebih sihat dan siri jelajah dunia ini menjadi salah satu cara untuk mengumpul seramai mungkin peserta menerusi kuasa senaman berkumpulan.

“Sesiapa pun boleh me­nyertainya. Jika inginkan senaman yang menyeronok­kan dalam suasana seperti di majlis keraian atau ‘party’, acara ONE LIVE ini menarik untuk dicuba,” ujarnya.

Pengurus Besar Reebok Malaysia/RSH (Malaysia) Sdn Bhd Manish Sapra berkata, industri kecergasan di Malaysia dilihat makin positif dan berkembang.

“Semakin prihatin rakyat Malaysia terhadap kesihatan dan kecergasan, semakin bijaklah pilihan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih seimbang.

“Jelajah ONE LIVE ini adalah contoh bagaimana Reebok dan Les Mills mencabar status-quo budaya kecergasan manusia,” katanya.

Tambahnya, kelengkapan infrastruktur terkini dan inovasi teknologi di negara ini berupaya menjadikan Malaysia sebagai salah satu lokasi pilihan dalam menjayakan acara terbabit.

Berkenaan kerjasama antara Reebok dengan Les Mills, Manish menjelaskan, ia lahir daripada wawasan berterusan untuk mengubah masa depan studio kecergasan menerusi program dan produk yang inovatif.

“Justeru kami yakin jelajah ONE LIVE ini akan memberi motivasi kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk menyertainya dan bersenam bersama kami ia bakal menjadi acara yang mengujakan, memberi in­spirasi dan tentunya berbaloi untuk kesihatan.

“Kita perlu faham terlebih dulu bahawa kecergasan tidak lagi tertumpu untuk golongan elit. Ia bukan lagi sesuatu yang dianggap mewah dan menyertai satu-satu aktiviti kecergasan era ini mula menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

“Dalam keperluan untuk kekal sihat dan cergas, makin ramai yang mula berminat menyertai aktiviti kecergasan berkumpulan seperti ini sebagai langkah pertama untuk memulakan gaya hidup sihat.

“Budaya ini berlaku kerana aktiviti kecergasan berkumpulan ini bukan saja menyeronokkan malah ia mampu meningkatkan motivasi apabila masing-­masing saling menyokong dan membantu sesama sendiri.

“Di Reebok, kami percaya kecergasan mampu menyerlahkan potensi sebenar seseorang dalam pelbagai cara lalu mendorong mereka untuk menjadi yang terbaik.

“Tanda jenama baru Reebok menampilkan tiga sisi yang mewakili perubahan fizikal, mental dan sosial menerusi gaya hidup cergas. Kami sendiri mengamalkannya dan percaya sesiapa pun boleh melakukannya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai tarikh dan acara ONE LIVE, sila layari: www.lesmills.com/onelive atau di Facebook menerusi www.facebook.com/LesMillsAsiaPacific.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 10:16 AM