PEMILIHAN pakaian sukan yang sesuai dapat mengoptimumkan senaman.
PEMILIHAN pakaian sukan yang sesuai dapat mengoptimumkan senaman.
Susunan Nor Faizah Mohamed


Bersenam bukan sekadar melakukan aktiviti fizikal untuk kecergasan keseluruhan tubuh.

Bersenam juga bukan semata-mata memberi tumpuan kepada satu bahagian tubuh seperti pinggul atau perut yang lazimnya dijadikan sasaran dalam proses menurunkan berat badan.

Bersenam sebenarnya turut membantu menjana minda dan emosi yang lebih sihat, di samping membuatkan individu itu rasa lebih selesa dengan keadaan tubuhnya.

Namun, tidak ramai dalam kalangan kita yang menitikberatkan pakaian yang sesuai ketika bersenam atau bersukan. Biasanya baju-T, seluar longgar dan kasut sukan biasa sudah memadai dengan alasan ia mudah serta tidak memerlukan bajet yang tinggi.

Selain itu, ramai juga yang kurang mengambil berat dari segi pakaian dalam seperti coli sukan yang dapat membantu menampung payu dara dan bahagian belakang tubuh kala bersukan.

Bagi atlet, pakaian yang sesuai dapat membantu mereka rasa lebih selesa, sekali gus membuatkan mereka beraksi dengan lebih baik.

Untuk senaman pula, pakaian yang sesuai dapat membantu mengurangkan bahang panas dan rasa tidak selesa disebabkan peluh.

Hakikatnya, pemilihan pakaian yang sesuai ketika bersenam dan bersukan dapat membantu meningkatkan prestasi diri, sekali gus membuatkan tubuh rasa lebih selesa terutama apabila berpeluh serta dalam keadaan panas.

Di sebalik keghairahan memulakan aktiviti itu, jangan diabaikan penampilan kerana pergerakan akan lebih selesa dan mudah andai mengenakan pakaian sukan sesuai.

Pakaian yang disarung ketika bersenam itu sama pentingnya seperti membawa bekalan air. Pakaian sukan yang bersesuaian mempunyai banyak fungsi dan bukannya memberi keselesaan semata-mata.

Dengan sedikit persiapan dan pengetahuan mengenai kepentingannya, pakaian sukan yang disarungkan itu dapat membantu meningkatkan lagi prestasi sepanjang sesi senaman di samping memberikan hasil yang diingini.

Justeru, bagaimana untuk mengenal pasti pakaian sukan yang sesuai? Pergerakan, cuaca dan kualiti perlu diambil kira ketika keluar membeli pakaian sukan agar kelak tidak memudaratkan.

Cuaca

Jika bersenam di luar dan bukan gimnasium, ambil kira faktor cuaca. Dalam cuaca panas, pakaian yang sesuai dapat membantu mengatasi masalah peluh dan panas badan.

Pakaian longgar amat digalakkan bagi memudahkan pengudaraan dan mengurangkan peluh.

Pilih warna terang dan sejuk berbanding rona gelap atau hangat bagi memantulkan sinaran matahari, sekali gus mengurangkan kepanasan pada tubuh.

Bagi cuaca sejuk atau dingin pula, sarungkan beberapa lapisan pakaian yang menggunakan fabrik ringan.

Topeng muka atau skaf juga boleh digunakan untuk melindungi bahagian pipi serta dada daripada terkena udara dingin.

Penggunaan topi amat digalakkan ketika musim ini bagi membantu peredaran haba, sekali gus melindungi kepala daripada sinaran ultraungu matahari.

Pergerakan

Pilih pakaian yang longgar dan tidak mengehadkan pergerakan. Memang cantik menggayakan pakaian mengikut lekuk tubuh tetapi ia lazimnya membuatkan pergerakan terbatas.

Elakkan juga memakai pakaian kasual untuk bersenam contohnya seluar jean yang boleh meregang. Apabila memakai seluar seperti itu, tubuh tidak dapat bergerak selesa terutama ketika melakukan aktiviti regangan berbanding jika memakai seluar sukan yang sesuai.

Kasut

Kesilapan utama bagi mereka yang baru hendak bersenam ialah tidak menitikberatkan kepentingan kasut sukan yang sesuai dan hanya membeli kasut yang dilihat cantik semata-mata.

Apabila kasut mula mencengkam kaki, mereka mula berasa berat hati meneruskan senaman lalu terpaksa berhenti separuh jalan.

Sama seperti kita memilih kasut untuk aktiviti santai, jelajah dan sebagainya, memilih kasut sukan yang sesuai amat penting sebelum bersenam.

Setiap bentuk kaki berbeza dan ada sebahagiannya memerlukan bantuan tambahan seperti kusyen, alas tebal dan sebagainya.

Sebelum membeli kasut sukan, disyorkan minta nasihat daripada pekedai atau perunding peralatan sukan agar kelak tidak memudaratkan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 10:06 AM