Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuantan: “Saya akan terus mengasak bagi baki perlumbaan”.

Itu keazaman pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman (gambar) yang terlepas peluang bergelar juara peringkat kelima LTdL 2015 apabila sekadar menduduki tempat ketiga.

Kejayaan itu yang kedua buat pelumba TSG menaiki podium selepas Anuar Manan juga menduduki tempat ketiga peringkat pertama di Pulau Langkawi.

“Tiga kali saya cuba melakukan pemecahan sepanjang LTdL kali ini, akhirnya berjaya juga menaiki podium. Saya bangga usaha keras dilakukan yang membuahkan hasil walaupun sekadar tempat ketiga.

“Laluan di Chukai, kampung halaman saya memberikan motivasi tambahan untuk mengejar podium.

“Saya akan terus melakukan asakan dan pemecahan selepas ini untuk mendapatkan keputusan lebih baik,” katanya selepas menamatkan perlumbaan yang bermula di Kuala Terengganu sejauh 200 kilometer.

Selepas mengawal perlumbaan dengan baik bersama tujuh pelumba lain, termasuk pelumba kebangsaan Loh Sea Keong, mereka gagal mengekang gerakan dilakukan pelumba KSPO, Seo Joon Yong.

“Selepas beberapa kali mencuba, Joon Yong akhirnya terlepas. Saya cuba meraih kedudukan kedua, namun sudah kehabisan tenaga.

“Saya berterima kasih kepada Sea Keong dan rakan sepasukan kerana membantu saya hingga menaiki podium. Ini kemenangan mereka juga,” katanya.

Peluang untuk menang sebarang jersi dipertandingkan kelihatan pudar buat pelumba tempatan termasuk TSG, namun harapan kini menjurus kepada memenangi baki tiga peringkat perlumbaan.

LTdL akan memasuki peringkat keenam dari Maran ke Karak dengan jarak 96.6 kilometer dan saingan dijangka berakhir dengan pecutan beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:19 AM