HARIFF (depan) perlu kerja lebih keras.
HARIFF (depan) perlu kerja lebih keras.
Azlan Muhammad Zain


Gong Badak: Tumpuan utama Jelajah Malaysia (JM) 2016 pada peringkat terakhir hari ini terarah kepada perebutan jersi Raja Pecut yang disarung jaguh tempatan Mohd Harrif Salleh.

Tiada laluan selesa untuk pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) berkenaan apabila hanya mendahului dua mata untuk saingan jersi biru dengan pelumba KSPO dari Korea Seo Joon Yong mengumpul 35 mata.

Situasi berkenaan menyaksikan Harrif dan rakan sepasukan perlu berkerja keras dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan untuk peringkat terakhir dari Kemaman ke Kuala Terengganu dengan tiga zon pecutan ditawarkan hari ini.

“Perancangan hari ini (semalam) sedikit tidak menjadi kerana berlaku pemecahan awal sehingga kami tidak dapat mengejar kelompok tiga pelumba yang jauh di depan.

“Namun saya bersyukur kerana masih mampu meraih tempat keempat dan mengekalkan jersi biru walaupun sedih tidak menaiki podium di tempat sendiri,” katanya.

Jelasnya, mereka perlu berwaspada dengan pergerakan Joon Yong hari ini kerana kelebihan dua mata adalah tidak selamat untuk menjuarai jersi biru.

“Saya perlu mengekorinya dengan rapat dan berhati-hati terhadap kemungkinan dia mahu mengambil mata di zon pecutan,” katanya.

Harrif pernah memenangi gelaran Raja Pecut JM pada 2011, 2013 serta 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:14 AM