Tanah Merah: Terengganu Cycling Team (TSG) mahu mempamerkan kebangkitan pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 yang bakal tamat di Kuala Berang hari ini.

Laluan landai sejauh 165.4 kilometer bermula dari Kota Bharu itu peluang terbaik buat barisan pelumba negeri itu untuk membuktikan kejaguhan di depan penyokong tempatan bagi menaiki podium di negeri sendiri.

Selepas cemerlang dalam dua peringkat awal, TSG mendapat tamparan hebat semalam apabila terlepas jersi putih selaku pelumba terbaik Asia yang disarung Adiq Husainie Othman dan tiada pelumba pasukan itu berada dalam kelompok awal yang menamatkan saingan peringkat ketiga semalam.

“Esok (hari ini) kami akan bersaing di tempat sendiri. Secara tidak langsung kami sudah ketahui selok-belok jalan yang akan dilalui. Saya akan buat yang terbaik untuk berada di depan dan kalau ada rezeki mahu menaiki podium,” kata Mohd Harrif Salleh.

Harrif dan Raja Pecut 2010 Anuar Manan menjadi sandaran utama TSG menggegar di Terengganu selepas melakar keputusan baik pada dua peringkat awal dengan Anuar di kedudukan ketiga (peringkat pertama) dan Harrif di tempat keempat (peringkat kedua).

“Laluan esok (hari ini) landai dan kami selalu menjalani latihan di sana selain sudah biasa dengan keadaan angin. Saya fikir kami tidak berdepan banyak masalah.

“Keadaan berbeza dengan laluan Gerik-Tanah Merah yang membabitkan zon pendakian. Saya dan Anuar hanya kekal bersama pemegang jersi kuning (Andrea Guardini) bagi menamatkan perlumbaan,” kata pelumba pecut itu.

Peluang Adiq Husainie kembali menyambar jersi putih pudar apabila gagal berada dalam kelompok pertama pelumba apabila tiba di garisan penamat di kedudukan ke-65.

Malah, dia ketinggalan 24 minit 32 saat kepada pemilik jersi putih daripada Giant Champion System, Zhang Wen Long yang mengumpul 11 jam 03 minit 12 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:17 AM