HARRIF (jersi hijau) antara pelumba yang bakal bawa cabaran pasukan tempatan.
HARRIF (jersi hijau) antara pelumba yang bakal bawa cabaran pasukan tempatan.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Perlumbaan berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia (JM) 2015 bermula hari ini dengan menjanjikan saingan menarik membabitkan 20 pasukan bertanding.

Edisi ke-51 itu menjanjikan tarikan tersendiri apabila beberapa nama besar dalam sukan berbasikal lebuh raya Asia sudah mengesahkan penyertaan pada saingan berstatus 2.2 membabitkan lima peringkat perlumbaan itu.

Juara bertahan keseluruhan individu JM 2014 dari pasukan Skydive Dubai Rafaa Chtioui akan kembali mempertahankan jersi kuning namun saingan dijangka lebih sengit kali ini.

Saingan sengit dijangka diberikan Kelab Iran Pishgaman Giant Team yang membariskan bekas juara Asia dan pemenang kategori Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) Hossein Askari dan Amir Zargari.

Cabaran kelab Indonesia Pegasus Continental Cycling Team juga tidak harus diperkecilkan kerana sudah membuktikan kemampuan apabila muncul juara keseluruhan di LTdL awal tahun ini terutama dengan prestasi Dani Lesmana.

Bagaimanapun pencabar lain seperti pelumba Kinan Cycling Team Jai Crawford dan Park Sung Baek dari KSPO perlu diberikan perhatian kerana sudah membuktikan kemampuan pada perlumbaan jelajah lain.

Harapan pelumba tempatan disandarkan kepada lapan pasukan namun potensi utama untuk menggugat disandarkan kepada Terengganu Cycling Team (TSG).

TSG diketuai Raja Pecut JM tiga kali termasuk tahun lalu, Mohd Harrif Salleh serta pelumba sensasi Anuar Manan dan pemenang gangsa Kejohanan Trek Remaja Dunia Adiq Husainie Othman.

“Laluan perlumbaan kali ini sememangnya memberikan kelebihan kepada pelumba pecut. Namun apabila melihat senarai pelumba, saingan saya jangkakan amat sengit.

“Mungkin sukar untuk saya mempertahankan gelaran Raja Pecut. Namun saya akan berusaha sebaik mungkin,” kata Harrif.

Pelumbaan JM 2015 dianjurkan Peloton Resources dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merangkumi jarak keseluruhan 474.6 kilometer membabitkan lima peringkat merangkumi laluan sekitar Lembah Klang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:26 AM