PASUKAN TSG pada majlis pengenalan pasukan, semalam.
PASUKAN TSG pada majlis pengenalan pasukan, semalam.
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) mahu mengambil kesempatan menakluk podium peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang akan bermula hari ini.

Peringkat pertama siri jelajah berkenaan yang bermula dari Kuala Berang ke Dataran Shah Bandar itu membabitkan kayuhan sejauh 124.8 kilometer (km).

Pakar pecut TSG Anuar Manan berkata, laluan yang akan ditempuh 20 pasukan itu memberi sedikit kelebihan kepada TSG kerana terbabit sering digunakan untuk menjalani latihan.

Pelumba berusia 30 tahun itu mengharapkan pasukannya bekerja keras untuk mendaki podium tetapi pada masa sama tidak mahu memperlekehkan cabaran pasukan lain terutama Nippo Vini Fantini (Itali) dan Isowhey Sport Swisswellnes (Australia) yang memiliki rekod terbaik di perlumbaan dunia.

“Sasaran utama kami tahun ini ialah mahu mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia (jersi Putih) yang dimenangi Mohammed Adiq Husainie Othman tahun lalu selain menaiki podium dalam peringkat pertama di bumi Terengganu esok (hari ini).

“Saya percaya laluan yang akan dilalui dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu esok (hari ini) selain persiapan rapi di Melbourne, Australia akan memberi kelebihan kepada kami,” katanya ketika sidang media sebelum perlumbaan di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 7:57 AM